Persekutuan Hoki Malaysia (MHC) telah menukar format kejohanan hoki Piala Razak yang dijadualkan berlangsung 18 hingga 26 Sept.

Pengerusi Jawatankuasa Kejohanan MHC Datuk Seri Anil Jeet Singh berkata kejohanan itu akan dilangsungkan dalam format satu divisyen sahaja, tanpa perbezaan usia di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Sejumlah 15 pasukan lelaki telah mendaftar bagi kategori lelaki dengan Sabah membuat penampilan semula selepas empat tahun, manakala Sarawak tidak menyertai kejohanan tahun ini.

Kategori wanita pula menyaksikan penyertaan 11 pasukan di mana Sabah, Johor, Perlis dan Melaka, tidak menyertainya. Tarikh tutup pendaftaran pada 11 Sept.

"Pasukan lelaki akan diundi kepada empat kumpulan (4-4-4-3), manakala wanita akan dibahagikan kepada dua kumpulan (6-5). Kesemua yang menyertainya perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pada setiap masa.

"(Walaupun kes COVID-29 meningkat sekarang) saya percaya kejohanan ini akan diteruskan, saya cuma risaukan ada pasukan akan tarik diri," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kejohanan pada Sabtu.

Bagaimanapun Anil Jeet berkata, jika kerajaan menarik balik kebenaran untuk menganjurkan kejohanan, MHC tidak mempunyai pilihan untuk membatalkan kejohanan itu.

Sebelum ini, kejohanan itu dimainkan dalam dua divisyen, dengan pemenang divisyen 2, akan dinaikkan ke divisyen satu.

MHC juga memutuskan untuk tidak mengenakan yuran pendaftaran RM100 tahun ini.

Juara kategori lelaki akan membawa pulang hadiah RM10,000, manakala tempat kedua RM7,000 dan ketiga RM5,000. Pemenang kategori wanita pula masing-masing akan membawa pulang RM5,000, RM3,000 dan RM2,000.

Kejohanan tahun ini iaitu yang pertama dianjurkan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan menjadi lebih menarik apabila pemain kebangsaan dibenarkan untuk bemain mewakili pasukan negeri masing-masing.

Senarai pasukan lelaki: ATM, Johor, Kedah, Kelantan, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Polis, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Selangor dan Terengganu.

Senarai pasukan wanita: ATM, Kedah, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pahang, Polis, Pulau Pinang, Perak, Sarawak, Selangor dan Terengganu.

-- BERNAMA