KAJANG: Penjara Kajang dan kediaman bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta menjadi perhatian pengamal media tempatan serta antarabangsa susulan pengumuman pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini.
Tinjauan di Penjara Kajang mendapati langkah kawalan keselamatan dipertingkatkan apabila petugas Jabatan Penjara Malaysia melakukan sekatan di beberapa laluan menuju pintu masuk utama kompleks berkenaan bagi mengawal pergerakan keluar masuk.
Pengamal media yang berkumpul di lokasi turut diarahkan menunggu di kawasan yang ditetapkan, kira-kira 10 meter dari pintu pagar utama penjara.
Setakat 12.30 tengah hari, suasana di Penjara Kajang dilaporkan terkawal dan tiada sebarang pergerakan membabitkan Najib dikesan di pintu masuk utama fasiliti itu.
Sementara itu, kediaman Najib di Jalan Langgak Duta turut menjadi tumpuan sejurus berita pengampunan bersyarat itu diumumkan kepada umum.
Lebih 50 pengamal media dari dalam dan luar negara dilihat berkumpul di sekitar kediaman berkenaan bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung pelaksanaan perintah tersebut.
Beberapa kenderaan polis turut ditempatkan di kawasan berkenaan bagi memantau keadaan dan memastikan kelancaran situasi.
Terdahulu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri memaklumkan Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman melalui tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Menurut BHEUU, pelaksanaan perintah itu tertakluk kepada syarat Najib menjelaskan denda sebanyak RM50 juta.
Keputusan berkenaan diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang berlangsung di Istana Negara hari ini.