JAKARTA: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyeru seluruh ahli parti supaya menjaga adab dalam setiap ungkapan serta menghormati segala proses yang ditetapkan susulan keputusan membolehkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah.
Pengerusi Barisan Nasional itu berkata, UMNO menyambut perkembangan berkenaan dengan penuh kesyukuran, selain menzahirkan penghargaan atas kebijaksanaan dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
“Dengan penuh takzim, saya bagi pihak seluruh kepimpinan dan ahli UMNO merafak sembah menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“UMNO menjunjung tinggi kebijaksanaan dan budi bicara Tuanku serta menzahirkan setulus-tulus penghargaan atas limpah ihsan Seri Paduka Baginda,” katanya kepada media selepas berucap pada Sidang Kemuncak Halal 20 (H20) Ke-5, di sini, hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, perkembangan itu amat bermakna buat Najib dan keluarga, selain seluruh keluarga UMNO yang selama ini tidak putus menaruh harapan dan menitipkan doa.
Katanya, pendirian UMNO sejak awal adalah membawa permohonan berhubung perkara itu dengan penuh tertib dan rendah hati melalui saluran yang ditetapkan.
“Penghormatan kepada institusi Raja, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang akan terus menjadi pegangan kita,” katanya.
Jelas beliau, limpah ihsan Yang di-Pertuan Agong itu membawa kelegaan yang amat besar buat Najib dan keluarganya serta akan sentiasa dikenang dengan penuh penghargaan oleh seluruh keluarga UMNO.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid menyeru seluruh ahli UMNO supaya menyambut perkembangan berkenaan dengan rasa syukur, selain menjaga adab dalam setiap ungkapan dan menghormati segala proses yang ditetapkan.
“Semoga Allah SWT terus mengurniakan kesejahteraan kepada Tuanku serta memelihara keamanan dan keharmonian negara. Daulat Tuanku,” katanya.
Terdahulu hari ini, Sultan Ibrahim berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan membenarkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Bagaimanapun, pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada pembayaran denda sebanyak RM50 juta.
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang diadakan hari ini.