KUALA LUMPUR: Skuad badminton negara terdiri daripada barisan pemain muda kebangsaan mempamerkan aksi cemerlang untuk memastikan slot ke suku akhir Piala Sudirman 2021 selepas menewaskan Mesir 5-0 di Vantaa, Finland, malam ini.

Rentak kemenangan skuad negara bermula dengan aksi beregu campuran di ranking ke-49 dunia Cheng Tan Jie-Peck Yen Wei yang menewaskan Ahmed Salah-Nour Ahmed Youssri 21-6, 21-7 dalam 20 minit masa perlawanan untuk mata pertama Malaysia.

Mata kedua diperoleh menerusi perseorangan lelaki Ng Tze Yong selepas menamatkan tempoh 24 minit perlawanan dengan kemenangan 21-8, 21-2 mengalahkan Mohamed Mostafa Kamel.

Malaysia mengesahkan tempat di suku akhir apabila pemain di ranking 134 dunia Eoon Qi Xuan mengecewakan Doha Hany yang menduduki ranking ke-113, 21-5, 21-7 dalam perseorangan wanita.

Mesir yang hanya menyenaraikan empat pemain, menurunkan gandingan Mohamed Mostafa-Ahmed untuk berdepan Man Wei Chong-Tee Kai Wun untuk aksi beregu lelaki, dengan kemenangan berpihak kepada pasangan negara 21-7, 21-6.

Beregu wanita Teoh Mei Xing-Yap Ling melengkapkan kemenangan 5-0 Malaysia selepas mengalahkan Nour-Doha 21-4, 21-9.

Malaysia melakukan perubahan menurunkan barisan kedua selepas skuad negara mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas England pada perlawanan pembukaan semalam dengan merehatkan perseorangan utama Lee Zii Jia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Hoo Pang Ron-Cheah Yee See (beregu campuran), S Kisona (perseorangan wanita) dan Pearly Tan-M.Thinaah (beregu wanita).

Malaysia bakal berdepan Jepun bagi melengkapkan perlawanan peringkat kumpulan pada Khamis 4 petang waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia) dalam penentuan juara kumpulan.

Untuk rekod, Malaysia mara ke separuh akhir Piala Sudirman pada edisi 2009 di Guangzhou, China manakala pada edisi 2019 di Nanning, China, skuad negara terkandas di suku akhir.

Sementara itu, Jepun yang diketuai pemain nombor satu dunia Kento Momota menempah slot ke suku akhir selepas mengesahkan kemenangan ke atas England dalam satu lagi perlawanan kumpulan D. Jepun memulakan kempen Piala Sudirman 2021 dengan menewaskan Mesir 5-0, semalam.

-- BERNAMA