KUALA LUMPUR: Diletakkan sebagai beregu wanita pilihan utama untuk Sukan Komanwel Birmingham 2022, Pearly Tan-M Thinaah yang akan bertanding buat kali pertama di temasya sukan itu tidak mengambil mudah cabaran mempertahankan kejuaraan yang disandang Malaysia dalam acara itu.

Beregu nombor 11 dunia itu merasakan walaupun diletakkan sebagai pilihan utama, mereka masih perlu berada di tahap permainan yang tinggi dan mempamerkan aksi cemerlang untuk membolehkan mereka dikalungkan pingat buruan di Pusat Pameran Nasional nanti.

"Saya rasa emas bukan sahaja sasaran kami, malah setiap atlet kini menyasarkan pingat emas itu. Tetapi untuk kami, sasaran utama ialah memberikan aksi terbaik dan menumpukan permainan dalam suatu-suatu perlawanan," kata Thinaah ketika ditemui pada Sabtu.

Saya rasa banyak negara yang mempunyai pemain yang baik dan konsisten. Jadi kami tidak akan menyebut sebarang negara tertentu (sebagai pencabar utama) tetapi bersedia untuk setiap perlawanan tanpa mengira negara mana yang kami bertemu," kata pemain kelahiran Klang berusia 24 tahun itu.

Sementara itu, Pearly berkata diletakkan selaku pilihan utama di Birmingham, memberikan motivasi kepada mereka untuk membanggakan Malaysia dengan memberikan hatrik emas apabila acara badminton bermula pada 29 Julai ini.

"Sebenarnya kami amat teruja untuk menyertai Sukan Komanwel. Segalanya berada dalam keadaan baik , kami benar-benar bersedia untuk Sukan Komanwel ini," kata pemain berusia 22 tahun itu.

Kedua-dua mereka semakin meningkat dalam pertandingan jelajah dunia, mengejutkan beregu nombor dua dunia dari Jepun Yuki Fukushima-Sayaka Hirota dan beregu nombor tujuh dunia Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia untuk melangkah ke separuh akhir dalam Kejohanan Masters Malaysia baru-baru ini.

Juara Terbuka Switzerland 2021 itu menjangka akan menerima cabaran daripada beregu pilihan tuan rumah Chloe Birch-Lauren Smith, wakil Kanada Rachel Honderich-Kristen Tsai (23) dan beregu India Ashwini Ponnappa-N. Sikki Reddy (25).

Malaysia memenangi pingat emas beregu wanita dua kali berturut-turut dalam Sukan Komanwel menerusi Vivian Hoo-Woon Khe Whei pada edisi Glasgow 2014 dan Vivian Hoo - Chow Mei Kuan di Gold Coast 2018.

-- BERNAMA