HANGZHOU: Semua pihak perlu terus memberikan sokongan kepada jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang susulan keputusan mengejut bekas juara dunia keirin itu menarik diri daripada temasya Sukan Asia 2022 di sini.

Ketua Kontinjen negara (CDM) ke temasya berkenaan, Datuk Chong Kim Fatt yang ditemui di sini berkata, Mohd Azizulhasni yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman wajar diberikan peluang untuk bangkit semula kerana beliau adalah wira yang telah banyak mengharumkan nama negara.

Kim Fatt yang juga Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata, keputusan yang dibuat pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu bukan sesuatu yang diinginkan selepas secara peribadi memberitahu mahu menghadiahkan dua butir emas pada edisi kali ini.

"Untuk saya beliau (Mohd Azizulhasni) adalah seorang atlet yang bagus dan taat kepada negara...Kita doakan beliau sembuh secepat mungkin dan masih boleh berkayuh sehingga Sukan Olimpik Paris 2024.

"Apa yang berlaku menjelang Sukan Asia tak penting, yang penting adalah keselamatan dan kesihatan beliau," katanya yang turut optimis Mohd Azizulhasni berupaya kembali ke tahap optimum menjelang Olimpik Paris.

Semalam, Mohd Azizulhasni mengumumkan terpaksa menarik daripada beraksi di sini selepas mengalami kecederaan pada kaki dan pinggul kiri ketika sesi latihan di Velodrom Nasional Nilai, Jumaat lepas.

Katanya, keputusan itu diambil setelah berbincang dengan jurulatihnya John Beasley dan pasukan, sebagai langkah terbaik bagi mengelakkan kecederaan tersebut bertambah parah.

Sementara itu, Kim Fatt yakin kontinjen negara tetap mampu mencapai sasaran 27 pingat biarpun tanpa kelibat Mohd Azizulhasni.

"Berdasarkan perkiraan kami sebelum ini memang terkesan, kami memang harapkan beliau...tapi selepas kajian dibuat dalam beberapa hari kebelakangan ini, kami percaya sasaran tetap mampu dicapai kerana ada data yang menyokong perkiraan kami," kata Presiden Persekutuan Wusyu Malaysia itu.

Pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia, Mohd Azizulhasni menyumbangkan masing-masing satu emas dalam acara pecut, diikuti perak (pecut berpasukan) dan gangsa (keirin).

Sebagai rekod, penerjun negara yang juga juara dunia 2017 Cheong Jun Hoong turut menarik diri daripada Sukan Asia 2018 susulan kecederaan.

Sukan Asia Hangzhou 2022 akan bermula secara rasmi pada 23 Sept hingga 8 Okt ini. - BERNAMA