Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyerahkan isu persaraan empat pemain skuad kebangsaan kepada Setiausaha Agong FAM dan pihak berwajib persatuan untuk dijawab.

Tengku Abdullah bagaimanapun enggan mengulas dan membuat andaian berkaitan sebab keempat-empat tonggak utama Harimau Malaya itu bersara awal.

Jelas baginda, tindakan mereka bersara awal merupakan tindakan besar dan seelok-eloknya mengemukakan sebab kepada FAM.

"Saya tahu satu hari nanti kita akan kena bersara awal tetapi tindakan mereka ini adalah sesuatu yang besar kerana mereka merupakan pemain untuk pasukan negara.

"Jika mereka ada sebab tertentu, eloklah kemukakan kepada pihak FAM dan kita boleh hormati keputusan mereka.

"Oleh itu eloklah kita serahkan kepada setiausaha agung dan pihak yang berwajib," kata Tengku Abdullah ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa bencana ribut di daerah Temerloh di Dewan Wawasan Sekolah Menengah Kebangsaan Abu Bakar di sini pada Sabtu.

Baru-baru ini, empat pemain bola sepak kebangsaan, Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Radzak, S. Kunanlan dan Amirul Hadi Zainal mengumumkan persaraan daripada menyarung jersi Harimau Malaya.