SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Bagaimanapun, Pengerusinya Datuk Seri Aminuddin Harun berkata perkara mengenai kerjasama itu hanya akan diputuskan pucuk pimpinan parti masing-masing dengan di peringkat PH, ia akan ditentukan Majlis Presiden PH.

"Bagi saya tiada masalah untuk bekerjasama jika itu arahan, kami akan ikut. Saya belum berjumpa dengan Tok Mat (Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan) secara rasmi, hanya pertemuan tidak rasmi seperti di Parlimen," katanya.

Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan RM100,000 untuk mangsa banjir Pantai Timur di sini hari ini.

Naib Presiden PKR itu percaya penyokong PH di peringkat akar umbi juga positif dengan keputusan yang bakal ditentukan nanti.

Dalam pada itu, mengenai dakwaan berlaku kesukaran bagi PH dan BN untuk mengadakan rundingan kerjasama tersebut, beliau menganggap ia hanya pandangan sesetengah pihak sahaja.

"Itu pandangan mereka sahaja, mungkin pada zaman mereka, itu yang berlaku, kita tidak tahu tetapi dalam keadaan sekarang apa juga keputusan itu harus diraikan," katanya.

Enam negeri yang akan terlibat dengan PRN tahun ini ialah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

-- BERNAMA