JUTAWAN Britain, Jim Ratcliffe, menegaskan bahawa dia tidak akan membayar harga yang tidak masuk akal demi menguasai Manchester United tatkala tarikh akhir bidaan makin hampir.

Pemilik semasa, keluarga Glazer, meletakkan United di dalam pasaran pada November tahun lalu dan Ratcliffe menjadi pembida pertama yang secara rasmi mendaftarkan berminat melalui syarikat bahan kimianya yang berpangkalan di London, INEOS.

Dia kemudiannya menjadi antara pihak yang mengemukakan bidaan awal pada bulan lalu dengan Ratcliffe dan jurubank Qatar, Sheikh Jassim bin Hamad Al Thani, dianggap mendahului pembidaan itu.

Walaupun nilai sebenar bidaan tidak dinyatakan, Glazers dilaporkan menuntut sekurang-kurangnya AS$7.2 bilion (RM32.2 bilion) dan ia akan menjadi rekod baru dunia bagi sebuah kelab yang dinilai Forbes tahun lalu setinggi AS$4.8 bilion (RM21.4 bilion).

Laporan terkini mencadangkan pembida makin yakin Glazers akan meluluskan penjualan itu dengan Ratcliffe dan Sheikh Jassim dijangka menyerahkan tawaran rasmi masing-masing minggu ini.

Begitupun, Ratcliffe melontarkan amaran bahawa dia tidak bersedia membayar secara membuta-tuli.

Bercakap mengenai proses pembidaan itu kepada Wall Street Journal, Ratcliffe berkata: "Bagaimana anda menentukan harga sebuah lukisan? Bagaimana anda memutuskan harga rumah?

"Ia tidak berkaitan dengan kos untuk membina atau berapa kos untuk mengecat.

"Apa yang anda tidak mahu lakukan ialah membayar harga yang tidak masuk akal ke atas sesuatu yang kemudian boleh buat anda menyesalinya." - Stadium Astro