JUTAWAN Britain, Jim Ratcliffe mempertimbangkan untuk menukar bidaan dan tawaran untuk membeli pegangan minoriti dalam kelab Manchester United.

Ratcliffe yang juga pengasas gergasi bahan kimia INEOS merupakan salah seorang daripada dua calon utama untuk membeli United bersama jutawan dari Qatar, Sheikh Jassim Hamad Al Thani.

Episod bidaan yang panjang telah dikemukakan oleh kedua-dua individu tersebut ketika keluarga Glazer mengumumkan untuk menjual kelab pada November tahun lalu, namun tiada sebarang kata putus dapat dicapai.

Penilaian United di Bursa Saham New York menjunam bulan lalu selepas laporan Glazers mungkin tidak menjual kelab tersebut.

Kini dilaporkan bahawa Ratcliffe menyasarkan kepentingan minoriti dalam pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris itu.

Sky News berkata, Ratcliffe boleh membeli kira-kira 25 peratus pegangan minoriti sebagai sebahagian daripada cadangan untuk cuba menamatkan proses penjualan yang masih buntu.

Jika Glazers menerima tawaran baru yang dilaporkan ini, keluarga Glazer akan mengekalkan kawalan majoriti ke atas kelab yang dibeli itu pada tahun 2005.

Keluarga Glazers tidak popular dalam kalangan penyokong United apabila menuduh keluarga itu telah membebani kelab dengan hutang.

United memulakan musim liga kali ini dengan keputusan yang tidak memuaskan apabila tewas empat daripada tujuh perlawanan pembukaan mereka. - Sinar Harian