KERJASAMA peminat bola sepak bakal menentukan hala tuju kepada hasrat untuk melihat penyokong kembali memeriahkan lokasi pertandingan sukan.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan kebenaran untuk kehadiran penyokong di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) untuk menyaksikan perlawanan bola sepak di stadium bermula 1 April ini.

Bagaimanapun, kebenaran itu bersifat percubaan dan ia boleh menjadi keputusan kekal atau ditarik semula apabila bergantung kepada pemantauan yang dilakukan.

"Di kawasan PKPB, (stadium boleh diisi dengan) 10 peratus kapasiti penonton atau 2,000 orang -- mana-mana lebih rendah dengan kawalan sepanjang masa.

"Di negeri PKPP, 25 peratus kapasiti penonton atau 8,000 orang -- mana-mana lebih rendah dengan kawalan sepanjang masa.

"Bagaimanapun, semua kejohanan dengan kehadiran terlalu kepada KBS, kebenaran ini akan berkuatkuasa pada 1 April dengan dua perlawanan bola sepak sebagai percubaan untuk menilai keberkesanan protokal penonton, " katanya dalam sidang media di Putrajaya semalam.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, meminta penonton patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan tuan rumah perlawanan Liga Malaysia (Liga-M).

Ia bagi memelihara rekod baik sepak takraw dan hoki yang berjaya mengawal penularan COVID-19.

"Baru-baru ini ada juga (penyokong daripada) 1-2 pasukan (yang tetap datang ke stadium walaupun tidak dibenarkan)  kerana keghairahan (mereka).

"Ini bukan salah pasukan tersebut tetapi kadang-kadang (didorong oleh) keghairahan penyokong.

"Saya minta pasukan dan kelab supaya sentiasa memberi saranan, pujuk penyokong kerana mereka mempunyai kegilaan tertentu atas keghairahan yang begitu menebal.

"Kalau kita boleh pandu emosi mereka kerana apa yang paling penting ialah kita jaga kita.

"Keghairahan yang begitu menebal boleh menyebabkan apa yang kami rancangkan akan terencat," kata ketika ditemui media.