Rekod tanpa kalah Negeri Sembilan dalam saingan Liga Perdana musim ini lebur selepas tewas 2-3 kepada pencabar terdekat, Kuala Lumpur pada aksi ke-15 liga di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, dekat sini, malam tadi.

Keputusan tersebut turut menyaksikan Negeri Sembilan terpaksa melepaskan takhta pendahulu liga kepada Kuala Lumpur yang melonjak ke tangga teratas menerusi kelebihan jaringan.

Pada aksi di Selayang, skuad 'The Hawks' berjaya meraih tiga jaringan awal menerusi Guilherme de Paula pada minit ke-10 dan dua jaringan Paulo Josue pada minit ke-78 dan 81 sebelum pasukan Negeri Sembilan bangkit meraih dua gol menerusi Bruno Suzuki pada minit ke-84 dan Farderin Kader pada minit ke-90.

Wakil Perak, PKNP FC turut mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga liga selepas menang 3-1 ke atas Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Tiga gol pasukan pelawat kendalian Abu Bakar Fadzim dijaringkan penyerang berbisa, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi pada minit ke-22, Ritus Krajauklis (minit ke-63) dan Ahmad Sukri Ab Hamid pada minit ke-86 manakala gol tunggal Sabah disumbangkan Rahman Shah Marajeh pada minit ke-69.

Turut meraih tiga mata penuh adalah Terengganu yang meraih kemenangan selesa 2-0 ke atas Angkatan Tentera Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Dua gol skuad Penyu dijaringkan kapten pasukan, Lazaro Vinicius Martin Alves pada minit ke-38 dan Gabriel Davis Dos Santos pada minit ke-90.

Di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, pasukan Johor Darul Ta'zim II meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Polis Diraja Malaysia hasil jaringan Alexander Smith pada minit kelapan perlawanan.

Terdahulu, Perlis melakar kemenangan selesa 3-1 ke atas wakil Pahang, Kuantan FA pada aksi sebelah petang di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar.

Tiga gol skuad Singa Utara dijaringkan Brandon Lea Adams pada minit ke-14, Mohd Alafi Mahmud (minit ke-59) dan Nosharizam Ab Rashid pada minit ke-77, sebelum Abdul Malik Mat Ariff mengurangkan defisit gol untuk pasukan pelawat pada masa kecederaan babak kedua perlawanan.

Dalam pada itu, pasukan UiTM FC gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri selepas seri 3-3 menentang pasukan MISC-MIFA di Stadium UiTM, Shah Alam.

Tiga gol skuad 'The Lion Troops' dijaringkan Dechi Marcel pada minit ke-10 serta Akanni Sunday Wasiu pada minit ke-74 dan masa kecederaan babak kedua perlawanan manakala tiga gol pasukan pelawat dijaringkan Luiz Eduardo pada minit ketujuh dan Sean Sherman pada minit ke-15 dan 70.

-- BERNAMA