KUALA LUMPUR: Ia telah mengambil masa selama 12 tahun tetapi jurulatih badminton negara, Rexy Mainaky akhirnya berjaya menyelesaikan tugas itu, malah dengan cara yang hebat.

Beliau berasa sangat menyesal apabila anak buahnya - beregu jaguh Sukan Asia 2006, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong tumpas kepada wakil China, Cai Yun-Fu Haifeng, 21-18, 18-21, 14-21, pada final Kejohanan Badminton Dunia 2010.

Melangkah ke 2022, Rexy, yang menyertai semula Persatuan Badminton Malaysia (BAM,) Disember lalu selepas meninggalkan badan kebangsaan itu pada 2012, akhirnya boleh menarik nafas lega selepas membimbing pasangan beregu lelaki terkemuka negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, untuk muncul juara dunia pertama Malaysia di Tokyo, semalam.

Aaron-Wooi Yik mencipta sejarah buat negara apabila menamatkan penantian gelaran dunia sulung Malaysia di pentas Kejohanan Dunia selepas menewaskan gandingan berpengalaman dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan, 21-19, 21-14.

Apabila saya menerima tawaran BAM, saya pasti komited untuk membimbing pemain Malaysia menjadi juara dunia. Nampaknya Aaron dan Wooi Yik telah membantu saya melunaskan hutang saya (kegagalan pada 2010) sepenuhnya," kata Rexy pada sidang media maya, hari ini.

Pengarah kejurulatihan beregu BAM itu percaya bahawa pencapaian sensasi Aaron-Wooi Yik di Tokyo pastinya akan membuka jalan kepada pemain kebangsaan yang lain, bukan sahaja pemain beregu, untuk meneruskan misi dan memenangi lebih banyak kejuaraan, termasuk di pentas dunia dan akhirnya merangkul pingat emas Sukan Olimpik yang sukar dicapai di Paris 2024.

Sementara itu, lagenda beregu Indonesia itu mengakui kegagalan Aaron-Wooi Yik membawa pulang pingat emas dari temasya Sukan Komanwel 2022 Brimingham baru-baru ini telah mendorong mereka meluangkan hasrat untuk menebus kekecewaan di Jepun.

Beregu negara itu tewas 21-18, 17-21, 4-21 kepada beregu England, Ben Lane-Sean Vendy, pada separuh akhir di Birmingham.

"Sukan Komanwel adalah temasya besar kerana ia berlangsung empat tahun sekali. Anda boleh lihat bagaimana Aaron-Wooi Yik mengalami tekanan apabila tewas di separuh akhir. Bagaimanapun, kekalahan itulah yang mendorong mereka untuk bangkit membawa pulang gelaran pada Kejohanan Dunia," tambahnya

Ditanya mengapa dia memutuskan untuk berlutut di hadapan Aaron-Wooi Yik selepas mereka merangkul kejuaraan pertama sejak digandingkan pada 2017, jurulatih berusia 54 tahun itu berkata ia adalah caranya untuk menunjukkan penghargaannya terhadap semua perjuangan mereka sebelum ini.

"Saya berasa seperti 'serangan jantung' selepas perlawanan dan sukar untuk menggambarkan perasaan saya selepas membimbing Aaron-Wooi Yik untuk memenangi gelaran dunia.

"Apa pun, saya perlu bersyukur kepada Tuhan kerana melancarkan perjalanan kami dan juga berterima kasih kepada Aaron-Wooi Yik, BAM, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, rakan-rakan jurulatih dan rakan sepasukan atas kemenangan ini," katanya.

-- BERNAMA