Michael Phelps dan Katie Ledecky terus memperbesarkan reputasi masing-masing di temasya Rio 2016, dengan legenda Amerika Syarikat itu meningkatkan perolehan peribadinya kepada 21 pingat emas keseluruhan.

Sudahpun bergelar Olimpian paling berjaya dalam sejarah, Phelps unggul dalam acara 200m kuak kupu-kupu lelaki untuk emasnya yang ke-20.

Chad Le Clos telah pun mengalahkan Phelps dalam acara yang sama empat tahun lalu, tetapi untuk persaingan kali ini, jaguh dari Afrika Selatan itu tidak pun berada dalam senarai pemenang pingat sesudah dipintas Masato Sakai dan Tamas Kenderesi untuk pingat perak dan gangsa.

Namun, Phelps belum selesai lagi apabila dia kembali untuk membantu kuartet Amerika Syarikat meraih kemenangan keempat berturut-turut dalam 4x200m gaya bebas bersama Ryan Lochte, Conor Dwyer dan Townley Haas.

Perenang belasan tahun sensasi, Ledecky, pula mengekang cabaran sengit pesaing dari Sweden, Sarah Sjostrom, untuk menambah pingat emas 200m gaya bebas kepada kejayaan terdahulunya dalam 400m gaya bebas.

Perenang Amerika itu hampir pasti menamatkan minggu ini dengan pingat emas ketiganya dalam acara 800m gaya bebas, dengan mengambil kira dominasinya dalam gaya itu sejauh ini.

Seorang lagi pemenang emas di kolam renang pada Selasa ialah Katinka Hosszu, yang memperbaharui catatan Olimpik dalam acara 200m rampaian individu wanita, mengatasi Siobhan-Marie O'Connor dengan kelebihan tiga persepuluh saat.

Hosszu kini telah meraih tiga pingat emas di Rio, semuanya pada jarak berbeza, sesudah mengungguli 100m kuak lentang dan 400m rampaian individu.