LONDON: Penjaring gol kemenangan Manchester City, Rodri dinobatkan sebagai pemain terbaik Liga Juara-Juara oleh UEFA ketika tujuh pemain City mencatat nama dalam pasukan terbaik musim ini dan Erling Haaland meraih gelaran gol terbaik musim ini.

Jaringan pada minit ke-68 itu sudah cukup bagi City mengalahkan Inter Milan 1-0 di Istanbul untuk menjulang Piala Eropah dan melengkapkan treble yang luar biasa, menurut Agensi Berita Jerman (dpa)

Pemain berusia 26 tahun itu pada Ahad dinamakan sebagai pemain terbaik musim ini oleh panel pemerhati teknikal UEFA.

Pada kesemua aksi Liga Juara-Juara City musim ini, Rodri hanya diketepikan dalam satu perlawanan dan menjaringkan dua gol termasuk jaringan kemenangan dalam aksi final pada Sabtu.

Pemain tengah Sepanyol itu disertai enam rakan sepasukan dalam pasukan terbaik musim ini ketika Haaland, Kevin De Bruyne, John Stones, Ruben Dias, Bernardo Silva dan Kyle Walker kesemuanya tersenarai.

Pemain Inter, Federico Dimarco dan Alessandro Bastoni turut berada dalam senarai pasukan terbaik bersama penjaga gol Real Madrid, Thibaut Courtois dan penyerang Vinicius Junior.

City juga meraih anugerah gol terbaik musim ini menerusi Haaland untuk aksi akrobatiknya ketika menentang bekas kelab Borussia Dortmund dalam aksi peringkat kumpulan yang menyaksikan City menang 2-1.

-- BERNAMA