BEKAS pemain tersohor Brazil dan Barcelona, ​​Ronaldinho, mengaku tidak bersalah berikutan penangkapannya kerana memasuki Paraguay menggunakan pasport palsu apabila menyatakan bahawa dokumen tersebut adalah tidak benar.

Ronaldinho dan bekas abang dan ejen pemain, Roberto Assis, ditangkap pada 6 Mac lalu sejurus tiba di Asuncion untuk mempromosikan buku dan pelancaran kasino dalam talian.

Pihak berkuasa tempatan mendedahkan gambar pasport Paraguay yang tertera nama dan foto Ronaldinho, justeru bekas pemenang Ballon d'Or dan abangnya itu ditahan walaupun pendakwa raya mengusulkan hukuman yang berbeza dengan alasan kedua-duanya menjadi mangsa penipuan.

Mereka mengaku tidak bersalah tetapi terpaksa menghabiskan selama 32 hari di penjara sebelum dibebaskan dan dikenakan tahanan di dalam rumah dekat sebuah hotel sejak 8 April lalu.

Tatkala siasatan itu sedang dijalankan, Ronaldinho memberikan wawancara pertamanya sejak penangkapan berkenaan dengan menegaskan bahawa dia tidak tahu bahawa pasport itu palsu.

"Kami benar-benar terkejut sebaik mengetahui dokumen itu tidak sah," katanya kepada stesen TV Paraguay, ABC Color.

"Sejak itu, kami sememangnya berhasrat untuk memberi kerjasama kepada pihak berkuasa bagi membersihkan nama kami dan hingga hari ini, kami telah menjelaskan segala-galannya dan segala yang diminta oleh pihak berkuasa.

"Ini adalah satu tamparan hebat, saya tidak pernah membayangkan akan mengalami situasi seperti ini. Sepanjang hidup, saya berusaha untuk mempamerkan sikap profesional yang tertinggi dan membawa kegembiraan kepada orang-orang yang beraksi di samping saya.

"Kami berharap mereka dapat mengguna dan mengesahkan kesemua maklumat yang telah kami berikan dengan secepat mungkin agar kami dapat meninggalkan keadaan ini.

"Semua yang kami lakukan adalah tertakluk kepada kontrak yang dikendalikan oleh abang saya yang merupakan pengurus saya. Dalam kes ini, kami datang untuk mengambil bahagian dalam pelancaran kasino dalam talian seperti yang ditentukan dalam kontrak itu dan untuk pelancaran buku 'Craque da Vida 'yang diaturkan oleh sebuah syarikat di Brazil yang mempunyai hak untuk mengedar buku berkenaan di Paraguay."

Bekas penyerang Barca, Paris Saint-Germain dan Milan itu pernah membuat 97 penampilan bersama skuad Samba di antara 1999 dan 2013.

Dia menjaringkan 33 gol selain merupakan tonggak penting dalam kemenangan Piala Dunia 2002.