Ronaldo dilayang kad merah, dibuang padang, Ireland kejutkan Portugal

Cristiano Ronaldo (kanan) cuba melepasi kawalan Jack Taylor ketika Portugal berdepan Ireland pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026 mdi Stadium Aviva, Dublin, awal pagi tadi. - Gambar Reuters
DUBLIN: Ireland mencipta kejutan besar apabila menewaskan Portugal 2-0, sekali gus mengekalkan peluang tipis untuk mara ke Piala Dunia tahun depan dan memaksa juara Liga Negara Eropah itu menunggu untuk mengesahkan tiket automatik – pada malam yang menyaksikan kapten Cristiano Ronaldo diarah keluar padang.
Ireland, yang tidak pernah layak ke kejohanan utama sejak sedekad lalu dan kali terakhir ke Piala Dunia pada 2002, memerlukan sekurang-kurangnya seri pada aksi Khamis untuk terus bersaing.
Namun, dua jaringan Troy Parrott pada separuh masa pertama melengkapkan persembahan terbaik mereka dalam beberapa tahun.
Meskipun menang, Ireland masih perlu menewaskan Hungary di Budapest pada Ahad untuk merebut tempat ke playoff Mac depan, selepas Hungary menewaskan Armenia 1-0.
Portugal pula hanya memerlukan seri menentang Armenia untuk mengesahkan kelayakan automatik.
Namun, mereka terpaksa melakukannya tanpa Ronaldo, selepas kad kuning awal kerana menyiku pertahanan Ireland, Dara O’Shea, dinaik taraf kepada kad merah selepas semakan video – kad merah pertama Ronaldo bersama Portugal dalam 226 penampilan.
Portugal yang hampir mengesahkan penampilan ketujuh berturut-turut di Piala Dunia bulan lalu sebelum gol penyamaan Hungary di masa kecederaan, dikejutkan seawal minit ke-17 apabila Liam Scales menanduk bola sepakan sudut ke arah Parrott yang mudah menyempurnakan peluang.
Ireland hampir menambah jaringan apabila Chiedozie Ogbene menggegar tiang, sebelum Parrott sekali lagi meledak gol kedua dengan penyudah kemas sebelum rehat.
Selepas Ronaldo diusir pada minit ke-60, Portugal gagal bangkit, walaupun mereka sudah pasti sekurang-kurangnya tempat playoff.
Kemenangan ini meletakkan Ireland satu mata di belakang Hungary, manakala Portugal kekal pendahulu Kumpulan F dengan kelebihan dua mata dan perbezaan jaringan lebih baik.
Parrott mengakui kepada RTE: “Ini mungkin malam terbaik dalam hidup saya. Perasaan sangat melegakan melihat usaha kami membuahkan hasil. Kami tahu betapa pentingnya perlawanan ini, terutama selepas keputusan Hungary. Saya benar-benar terharu.”
Jurulatih Ireland, Heimir Hallgrimsson, memuji sokongan padu penyokong dan mengakui ia mungkin mempengaruhi Ronaldo.
“Penyokong kami luar biasa. Mereka beri tenaga dan dorongan pada saat penting. Mereka layak untuk kemenangan ini. Ronaldo hilang fokus sedikit, mungkin kerana tekanan daripada penyokong.” - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


