KUALA LUMPUR: Walaupun dianggap sebagai atlet elit negara, pelumba berbasikal trek Muhammad Shah Firdaus Sahrom tidak menyangka tersenarai dalam program 'Road to Gold' (RTG) bagi memburu emas sulung negara pada Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

Muhammad Shah Firdaus mengakui memikul tanggungjawab berat untuk membalas balik kepercayaan diletakkan kepadanya memandangkan beliau kini merupakan antara prospek negara untuk membawa pulang emas dalam temasya sukan terbesar dunia tersebut tahun depan.

"Pertama sekali syukur alhamdulillah saya tak sangka terpilih, kita tahu dalam senarai itu ada juara dunia dan pemenang pingat Olimpik, jadi macam saya ini tiada apa lagi namun ia merupakan penghormatan bagi saya.

"Tekanan memang ada namun apa yang penting saya ambil positif dapat terpilih dalam RTG...bermakna saya perlu beri 100 peratus dan sememangnya ini tanggungjawab saya untuk sumbangkan lebih banyak (di Sukan Olimpik 2024)," katanya kepada Bernama.

Ditanya mengenai apa yang bakal dimintanya dalam program RTG, pemenang pingat gangsa keirin lelaki Sukan Komanwel 2022 itu berkata perbincangan masih dilakukan dengan jurulatihnya John Beasley sebelum memuktamadkan keperluan dimahukan bagi membantunya berlumba di Paris 2024.

Muhammad Shah Firdaus, yang kini sedang menjalani latihan di Eropah berkata beliau akan berjumpa dengan jawatankuasa RTG selepas pulang daripada beraksi pada pusingan ketiga Kejohanan Piala Negara-Negara di Milton, Kanada, awal bulan depan bagi mendapatkan perkembangan lanjut berhubung tawaran yang bakal dinikmatinya dalam program berkenaan.

Selain beliau, pemenang pingat perak keirin lelaki Sukan Olimpik 2020 serta bekas juara dunia Datuk Mohd Azizulhasni Awang juga merupakan antara 15 nama yang tersenarai dalam program RTG.

Sukan badminton pula mendominasi program tersebut apabila seramai 11 pemain tersenarai iaitu juara dunia dan pemenang pingat gangsa beregu lelaki Sukan Olimpik Tokyo 2020 Aaron Chia-Soh Wooi Yik, jaguh profesional lelaki negara Lee Zii Jia dan beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah.

Turut terpilih adalah tiga beregu profesional iaitu dua wakil dari kem beregu campuran Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie serta beregu lelaki Ong Yew Sin-Teo Ee Yi manakala dua wakil terjun iaitu Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri melengkapkan senarai atlet dalam program RTG.

Sementara itu, Soon Huat, yang bersyukur kerana terpilih dalam program RTG percaya ia pasti akan memberi mereka motivasi untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik buat kali pertama di Perancis.

Soon Huat berkata beliau dan Shevon kini boleh menarik nafas lega selepas segala usaha mereka untuk mendapatkan bantuan terutama daripada Kementerian Belia dan Sukan akhirnya membuahkan hasil.

"Permintaan utama kami adalah perkhidmatan kakitangan sokongan daripada Majlis Sukan Negara dan juga Institut Sukan Negara untuk perubatan, fisioterapi dan tukang urut semasa kejohanan dan latihan.

"Saingan akan lebih sengit kerana kami akan menghadapi kelayakan Sukan Olimpik 2024 bermula bulan depan serta kejohanan berturut-turut, kami bukan sahaja perlu berada dalam keadaan terbaik tetapi juga untuk mengelakkan kecederaan," katanya.

Dalam pada itu, Yew Sin berkata beliau dan Ee Yi akan memberikan yang terbaik untuk membalas kepercayaan jawatankuasa RTG manakala Thinaah berharap semua proses yang perlu mereka lalui dalam program itu berjalan lancar.

-- BERNAMA