Kapten pasukan tenis Fed Cup Rusia, Shamil Tarpishchev masih mengharapkan pemain ternama Rusia, Maria Sharapova dan Svetlana Kuznetsova akan beraksi dalam perlawanan separuh akhir Fed Cup menentang Slovakia April ini

“Saya perlu meneliti jadual perlawanan mereka sebelum mengatur barisan yang akan diturunkan menentang Slovakia,” kata Tarpishchev kepada akhbar Sports Express .

“Sudah tentu kehadiran Sharapova akan menguatkan lagi pasukan kami namun kami juga tidak harus lupa mengenai kepentingan beliau juga. Kami akan mencuba sedaya upaya meminimumkan setiap kekalahan untuk kebaikan mereka yang mengejar tangga teratas pada ranking mereka,” .

Sepanjang kariernya, Sharapova hanya bermain sebanyak tiga kali sahaja dalam Fed Cup dan beraksi buat kali pertama pada 2008 demi memenuhi kriteria Sukan Olimpik.

Tarpishchev berkata Sharapova ada menyatakan keinginannya untuk bermain bersama Rusia pada kempen Fed Cup musim ini dan beliau begitu berminat untuk menyertakannya ke dalam skuad pada peringkat seterusnya dalam pertandingan ini.

“Sekiranya Masha (Sharapova) menyertai kejohanan tenis yang mudah kelak tanpa melibatkan pertandingan ternama di Amerika, kami akan memanggil beliau,” katanya.

Tarpishchev berkata beliau turut telah mendapat persetujuan dari pemain, Anastasia Pavlyuchenkova dan Vera Zvonareva yang telah memberi jaminan kedua-dua mereka dapat beraksi untuk Rusia musim ini dan menambah akan memanggil Kuznetsova ke dalam pasukan jika terdapat keperluan berbuat demikian.

“Ia begitu penting bagi Svetlana (Kuznetsova) untuk memperbaiki kedudukannya dalam ranking pada awal musim ini dan beliau telah meminta untuk melepaskannya dari beraksi menentang Jepun,” kata Tarpishchev.

“Beliau mahu berada dalam kelas elit dunia dan keinginannya itu perlu kami hormati."