GEORGE TOWN: Tujuh lelaki tempatan ditahan susulan insiden pergaduhan selepas perlawanan bola sepak antara Kedah Darul Aman FC dan Penang FC di George Town malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, mereka yang berusia antara 18 hingga 38 tahun ditahan polis D7 Bahagaian Siasatan Jenayah IPD Timur Laut dalam kejadian tersebut.

"Suspek yang ditahan juga mengalami kecederaan di kepala dipercayai terkena balingan batu.

"Selain itu, polis turut merampas dua biji batu, dua biji kon dan sebatang kayu yang dipercayai digunakan dalam insiden pergaduhan tersebut," katanya di sini, hari ini.

Soffian berkata, pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian merusuh berdekatan sebuah stesen minyak berhampiran Stadium Bandaraya pada jam 11.20 malam.

Menurut Soffian, siasatan mendapati kejadian berpunca daripada provokasi antara kedua-dua penyokong di luar stadium sebaik sahaja perlawanan antara kedua-dua pasukan berakhir.

Katanya, suspek yang berasal dari Pulau Pinang, Kedah dan Sarawak tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan mereka juga bebas daripada pengambilan sebarang jenis dadah.

Soffian berkata kesemua mereka direman selama dua hari sehingga Khamis.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan (merusuh) dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan (khianat).

Dalam pada itu, Soffian turut menasihati orang ramai agar tidak menularkan rakaman video berkaitan insiden tersebut bagi mengelakkan sebarang spekulasi.

Media sebelum ini melaporkan insiden kekecohan berlaku antara penyokong Kedah FC dan Penang FC di luar Stadium Bandaraya selepas perlawanan berakhir.

Dalam satu video tular berdurasi seminit 42 saat, kumpulan berpakaian serba hitam yang dipercayai penyokong Pulau Pinang dilihat mengeluarkan kata-kata provokasi sebelum berlaku pergaduhan dengan penyokong pasukan lawan.

Suasana menjadi semakin tegang apabila kedua-dua kumpulan mula bertindak agresif dengan aksi sepak terajang antara mereka hingga mencetuskan kekecohan berhampiran kawasan parkir bas penyokong Kedah

Dalam saingan ke-20 Liga Super yang berlangsung malam tadi, pasukan Penang FC  tewas kepada asukan Kedah Darul Aman FC dengan jaringan 1-2.