Ramalan keputusan:

Sabah FC 2 - 2 Selangor FC
KL City 2 - 0 PDRM
Penang FC 3 - 1 Kuching City FC



SAINGAN liga kembali selepas berehat seketika untuk sambutan Aidilfitri.

Perlawanan tumpuan untuk pusingan ke-10 ini ialah pertemuan di antara Selangor FC dan Sabah FC.

Selangor pastinya mahu meneruskan momentum kemenangan dan merapatkan mata dengan pendahulu liga JDT.

Sentuhan jaringan daripada Ayron Del Valle amat ditagih oleh skuad bimbingan Tan Cheng Hoe.

Faisal Halim juga perlu berada pada prestasi terbaik untuk mengucar-kacirkan pertahanan Sabah.

Datuk Ong Kim Swee pula meletak sandaran kepada Jailton Lourenco, Taesu Park, dan Saddil Ramdani untuk memacu serangan skuad Sabah.

Pertembungan yang dijangkakan sengit dengan kedua-dua pasukan berkemungkinan berkongsi mata.

Satu lagi perlawanan tumpuan ialah di antara KL City dan PDRM FC.

Bojan Hodak sudah tentu mahu meneruskan momentum KL City selepas merekodkan tiga kemenangan berturut-turut sebelum ini.

Bermula dengan agak goyah musim ini, KL City nampaknya semakin menemui rentak permainan.

Paulo Josue, Tchetche Kipre akan terus jadi sandaran skuad Ibu Kota, manakala Caion pula mampu membawa perubahan keapda perlawanan apabila dibawa masuk seperti ketika perlawanan menentang Kedah Darul Aman (KDA) sebelum ini.

PDRM pula merekodkan tiga kekalahan berturut-turut dan bertemu dengan KL City yang mempunyai motivasi tinggi ketika ini.

Bagaimanapun, tiada yang mustahil bagi anak-anak buah Azzmi Ab Aziz sebagaimana dibuktikan ketika mereka menewaskan KDA awal musim ini.

Perlawanan yang dijangka menarik, namun KL City dilihat berkelebihan untuk memungut mata penuh.

Perlawanan di antara Sabah FC vs Selangor FC boleh ditonton secara langsung di saluran 803 ARENA Bola pada jam 7.30 malam ini.

Perlawanan di antara KL City FC vs PDRM pula boleh ditonton di saluran 804 ARENA Bola 2 pada jam 8.15 malam.


* Syukri Shaari merupakan penerbit Astro AWANI yang memberikan ulasan tentang Liga Bola Sepak Malaysia menerusi slot 'Volley Bersama SuperSyuk'.