Mohamed Salah tidak perlukan motivasi tambahan untuk memecahkan rekod dan mencapai status legenda, kata pengurus Liverpool, Jurgen Klopp.

The Reds menewaskan Norwich City 3-0 dalam perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu lalu, di mana Salah menjaringkan satu gol dan membantu dua jaringan lain.

Sepakan lencongnya pada minit ke-74 merupakan yang kelima berturut-turut dalam perlawanan pembukaan musim EPL, rekod yang tidak pernah dilakukan mana-mana pemain sebelum ini.

Menjelang pertemuan skuad kendalian Klopp itu dengan Burnley -- yang menamatkan rekod 68 perlawanan tanpa kalah Liverpool di Anfield musim lalu-- malam ini, Salah semakin hampir untuk mencatatkan satu lagi sejarah dalam EPL.

Penyerang Mesir itu telah menjaringkan 98 gol daripada 159 perlawanan EPL dan hanya empat pemain pernah mencecah 100 gol dalam 160 penampilan pertama sepanjang sejarah kejohanan itu -- Alan Shearer (124), Harry Kane (141), Sergio Aguero (147) dan Thierry Henry (160).

Klopp, bagaimanapun, berasakan peranannya terbatas untuk memotivasikan Salah untuk mencapai rekod itu.

"Saya tidak perlu melakukannya,"jawab Klopp ketika ditanya sama ada dia perlu memberikan Salah galakan atau tidak.

"Dia menyedarinya. Dia tahu akan segala perkara seperti ini. Dia menikmati waktunya di sini. Saya tidak tahu dia sudah memecahkan rekod minggu lalu. Apabila dia bermain dengan sebaik mungkin, dia berada dalam situasi yang boleh menjaringkan gol.

"Dia bernafsu untuk menjaringkan gol, tiada keraguan mengenai perkara itu. Dengan kualitinya, dia boleh mencipta rekod dalam bantuan gol juga.

"Saya tidak pernah katakan kepadanya bahawa dia boleh atau sudah menjadi legenda terbesar Liverpool. Itu bukanlah sasaran anda.

"Rekod, benar tetapi legenda, ia adalah apabila karier anda sudah berakhir. Harap-harap dia boleh kekal seperti ini," katanya.