"SAYA tidak menandatangani sebarang kontrak dengan United," demikian kenyataan dibuat bekas pengurus Chelsea, Jose Mourinho, yang menafikan laporan mengatakan dia sudah bersetuju menerajui Manchester United musim depan.

Mourinho, bagaimanapun, mengakui mahu kembali menjadi pengurus pasukan hujung musim ini, namun belum menentukan destinasinya.

"Louis van Gaal merupakan sahabat baik saya, saya pernah bekerja bersamanya untuk beberapa tahun.

"Nama saya sering dikaitkan dengan pasukan bola sepak, namun saya boleh katakan ketika ini saya tidak ada menandatangani kontrak dengan mana-mana pasukan," jelasnya.

Difahamkan, Syria ada menawarkan kontrak terhadap jurulatih kelahiran Portugal itu, namun ia telah ditolak.

"Secara jujurnya, saya gemar untuk menerajui sebuah kelab, namun saya akan lihat terlebih dahulu apa yang terbaik buat kerjaya saya.

"Kalau boleh saya mahu kekal di England, saya sukakan senario bola sepak di sini," katanya.