PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia meraikan ulang tahun kelahiran ke-24 hari ini.

Pemerhatian Astro AWANI di laman sosial mendapati rata-rata peminat dan warganet tidak melepaskan peluang mengucapkan selamat hari lahir kepada juara Kejohanan Seluruh England itu.

"Happy birthday @leeziijia," demikian tulis Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menerusi laman Instagram, hari ini.




Selain itu, beregu lelaki badminton negara, Soh Wooi Yik dalam hantaran di Instagram turut memuat naik gambar bersama Zii Jia sempena hari kelahirannya.






Berikut beberapa perkara menarik mengenai Zii Jia:

1. Setakat ini, Zii Jia berada di kedudukan ketujuh dunia bagi pemain perseorangan lelaki.

2. Dilahirkan di Alor Setar pada 29 Mac 1998, dan mempunyai ketinggian 1.86 meter. Dia mendapat pendidikan awal di SJK Keat Hwa, Alor Setar, sebelum berhijrah ke ibu kota untuk menyertai Sekolah Sukan Bukit Jalil.

3. Zii Jia mula berjinak dalam sukan badminton pada usia 6 tahun. Zii Jia mula 'jatuh hati' dengan sukan bulu tangkis itu selepas bapanya membawa menyertai salah sebuah kelab badminton di Alor Setar.

4. Zii Jia mula bermain badminton secara profesional pada usia 13 tahun. Pada 2015, dia memenangi Kejohanan Badminton Terbuka Remaja di Perak dan Selangor pada usia 17 tahun.

5. Menamatkan penantian Malaysia pada 2021 untuk menjulang kejuaraan dalam kejohanan Seluruh England selepas kali terakhir dimenangi Datuk Lee Chong Wei pada 2017.

6. Ibu bapa Zii Jia merupakan bekas pemain bola keranjang kebangsaan. Ibunya, Siet Peng pernah mewakili negara dalam Sukan SEA, manakala bapanya Chee Hin merupakan pemain terbaik kebangsaan ketika berusia 16 tahun.

7. Pada Januari lalu, Zii Jia keluar dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan mahu bergerak sebagai pemain bebas.