KUALA LUMPUR: PDRM FC bangkit daripada ketinggalan pada saat akhir untuk menafikan hasrat Kuching City FC mencatat kemenangan kedua berturut-turut Liga Premier pada aksi yang berakhir dengan keputusan 2-2 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi.

Jaringan penyamaan penuh mendebarkan itu hasil sepakan penalti yang disempurnakan pemain tengah Muhammad Azrie Reza Zamri pada masa tambahan babak kedua menghadiahkan satu mata kepada PDRM selepas tewas dalam dua perlawanan terakhir.

Pada aksi malam tadi, Kuching City FC yang dibimbing jurulatih berpengalaman luas Irfan Bakti Abu Salim terlebih dahulu di hadapan menerusi sentuhan penyerang Abu Kamara pada minit ke-10 sebelum pasukan tuan rumah mengikat kedudukan 1-1 hasil penyudah Martin Adamec pada minit ke-23.

Pemain pertahanan Aylton Alemao memberikan harapan kepada Kuching City FC untuk mengutip tiga mata berharga dengan meledak gol kedua pasukan pada minit ke-84 namun impian itu musnah dengan jaringan sepakan penalti Muhammad Azrie.

Keputusan itu bagaimanapun tidak mengubah kedudukan kedua-dua pasukan apabila berkongsi tujuh mata dengan Kuching City di tangga keenam sementara PDRM di tangga ketujuh.

Dalam satu lagi aksi di Stadium UiTM, Shah Alam, Skuad Projek FAM-MSN menamatkan rentetan kekalahan dalam empat perlawanan terakhir selepas mengikat Selangor FC 2 tanpa jaringan.

-- BERNAMA