Acara Separuh Maraton Jambatan Pulau Pinang pada 14 Jun ini dijangka menarik penyertaan 12,000 peserta, kata pengerusi jawatankuasa penganjurnya Danny Law Heng Kiang.

Beliau berkata larian sejauh 21km di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah itu, terbahagi kepada enam kategori - Terbuka Lelaki dan Wanita; Veteran Lelaki dan Wanita serta Junior Lelaki dan Perempuan.

"Setakat ini, kira-kira 8,000 orang mengesahkan penyertaan mereka," kata Law yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan negeri, di sini semalam.

Beliau berkata acara itu diadakan bersempena Persidangan Persatuan Maraton dan Perlumbaan Jauh Antarabangsa (Aims) Asia-Pasifik dari 12 hingga 13 Jun, di sebuah hotel terkemuka di sini.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang acara itu dengan melayari laman sesawang www.penangmarathon.gov.my.