USAIN BOLT menegaskan dia tidak akan menarik kembali keputusannya untuk bersara selepas menamatkan karier olahraganya dengan penuh kekecewaan sambil menegaskan tidak kesal untuk berlumba setahun lagi susulan kejayaan dalam Sukan Olimpik Rio 2016.

Bolt melakar sejarah dalam temasya tahun lalu apabila mengungguli acara 100 dan 200 meter buat kali ketiga berturut-turut, namun ikon pelari pecut itu gagal melakar penamat gemilang dalam saingan Kejohanan Olahraga Dunia IAAF di London.

Selepas menamatkan perlumbaan individu terakhirnya dalam final 100m di tempat ketiga, Bolt mengalami kekejangan di bahagian hamstring kaki kirinya ketika menjadi pelari terakhir buat Jamaica dalam acara 4x100m berganti-ganti, semalam.

Ditanya sama ada dia akan menarik keputusannya untuk bersara, Bolt berkata: "Tidak. Saya sudah melihat ramai atlet yang membuat kemunculan hanya memburukkan lagi keadaan dan memalukan diri sendiri. Saya tidak akan melakukannya."

BACA: Walaupun jatuh, Usain Bolt dapat tepukan gemuruh

Menjelaskan keputusannya untuk kembali bersaing pada 2017, tambahnya: "Peminat ingin melihat saya beraksi setahun lagi. Tanpa mereka, saya tidak akan meraih kejayaan yang dikecapi selama ini. Kalau perlumbaan boleh memuaskan hati mereka, saya tidak kisah. Itulah yang saya ingin lakukan.

"Kejohanan ini tidak akan mengubah apa yang pernah saya lakukan. Selepas tewas dalam 100m, seseorang berkata kepada saya, "Muhammad Ali kalah dalam pertarungan terakhirnya, jadi usah tertekan'.

"Saya telah membuktikan keupayaan sepanjang karier saya, oleh itu kekalahan dalam perlumbaan terakhir tidak akan mengubah apa yang telah saya lakukan dalam sukan."

Kecederaan Bolt itu didiagnosis sebagai kekejangan oleh pasukan doktor Jamaica, namun tambah atlet berusia 30 tahun itu: "Saya akan mengetahuinya jika ia lebih buruk daripada yang disangkakan."


Bolt turut mengambil kesempatan untuk melakukan pusingan penghormatan di Stadium London yang penuh dengan berkata: "Bagi saya, ia menakjubkan. Sokongan yang diberikan tidak berubah.

"Adalah menyedihkan saya terpaksa bersara. Aura penyokong saya hebat. Saya berasa seperti di tempat sendiri dan sangat dialu-alukan di sini.

"Saya mengucapkan selamat tinggal kepada peminat dan karier saya juga, saya sudah mendominasinya sejak sekian lama. Mereka adalah segala-galanya buat saya.

"Saya hampir menitiskan air mata."