HANGZHOU: Setelah meraih pingat perak di temasya Sukan Asia, pasukan e-sukan Malaysia Arena of Valor (AoV) berharap acara e-sukan akan dipertandingkan di pentas Olimpik pada masa akan datang.

E-sukan yang mempunyai jumlah peminat ramai dalam kalangan anak muda dan hadiah wang tunai lumayan dipertaruhkan dalam pertandingan sehingga mencecah jutaan USD, namun tidak tersenarai dalam Olimpik Paris 2024, namun berharap dapat dipertandingkan di Los Angeles 2028 atau Brisbane 2032.

Pengurus pasukan Malaysia Wong Kang Woon berkata, e-sukan tidak boleh dipandang rendah kerana Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan penganjur yang mahu menarik minat generasi muda dengan menyenaraikan sukan baharu di Olimpik.

"Sukan Olimpik merupakan temasya pelbagai sukan. Papan luncur, breakdance dan panjat dinding sudah dipertandingkan di Olimpik, jadi kenapa tidak e-sukan?

"Kita tidak boleh melihat e-sukan dari perspektif negatif. Pemain e-sukan bukan hanya duduk dan bermain, mereka juga merasakan tekanan, berpeluh dan debaran," katanya.

Wong berkata pasukan AoV yang mengikuti latihan selama 12 hingga 14 jam sehari sebelum tiba di Hangzhou, turut mendapat sokongan sains sukan daripada Institut Sukan Negara (ISN) bagi memastikan mereka berada dalam keadaan bersedia menghadapi pertandingan.

Pasukan AoV terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dalam aksi final semalam, selepas tewas kepada pasukan pilihan dari China 0-2.

Namun begitu, ia sesuatu yang membanggakan kerana e-sukan turut tersenarai sebagai penyumbang pingat buat kontinjen negara di Sukan Asia pada penampilan sulung.

Sementara itu, Wong berkata pasukannya menerima jemputan daripada penganjur permainan untuk bermain dalam liga profesional dunia yang menawarkan hadiah terkumpul US$10 juta (kira-kira RM47 juta).

Beliau berkata pihaknya telah menerima jemputan secara verbal dan perbincangan untuk menyertai liga selama dua minggu itu sedang dijalankan.

"Kita belum dapat hitam putih lagi daripada penganjur. Kita balik Malaysia dulu dan berbincang untuk membentuk satu pasukan profesional," katanya.

-- BERNAMA