Skuad Harimau Muda berdepan ujian berat menjelang aksi bertemu Vietnam

Mohd Nafuzi berkata pasukan telah membuat persediaan rapi kerana menyedari cabaran hebat yang bakal diberikan Vietnam sebagai satu pasukan pilihan. - Gambar Bernama
BANGKOK: Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan terus berdepan ujian apabila berkemungkinan kehilangan dua tonggak utama menjelang aksi penentuan menentang Vietnam pada perlawanan terakhir Kumpulan B saingan bola sepak lelaki Sukan SEA 2025 di sini.
Ringkasan AI
- Muhammad Haqimi Azim Rosli meninggalkan pasukan B-23 kebangsaan untuk uruskan pemakaman bapa tirinya yang baru meninggal dunia.
- Ahmad Haziq Kutty Abba yang cedera dijangka tidak dapat beraksi menentang Vietnam dalam aksi penentuan Kumpulan B Sukan SEA 2025.
- Kehadiran Muhammad Alif Izwan Yuslan dan pemulihan Muhammad Aiman Yusuf Muhammad Nabil meningkatkan harapan skuad Harimau Muda dalam pertembungan penting menentang Vietnam.
"Kami ada berita baik dan kurang baik untuk pasukan, pagi tadi kami menerima khabar bapa Haqimi telah meninggal dunia dan kami juga kehilangan Haziq Kutty yang mengalami kecederaan serta akan terlepas untuk baki perlawanan pada temasya ini.
"Untuk situasi Haqimi kami akan lihat semula sama ada dia dapat kembali bersama pasukan ataupun sebaliknya tetapi bagi pasukan dan saya, kami memang memerlukan khidmat Haqimi untuk bertemu Vietnam," katanya ketika ditemui di hotel pasukan di sini hari ini.
Mohd Nafuzi bagaimanapun masih boleh menarik nafas lega apabila penyerang Selangor FC Muhammad Alif Izwan Yuslan akan menyertai pasukan petang ini selepas mendapat kebenaran kelab, selain pemain pertahanan Muhammad Aiman Yusuf Muhammad Nabil yang baru pulih daripada kecederaan.
"Walaupun ada yang pergi, ada yang kembali, pemain pasukan kami masih belum mencukupi (23 pemain) tapi kami terima cabaran ini dan terus fokus untuk bertemu Vietnam dalam misi ke separuh akhir," kata bekas pengendali Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC itu.
Sementara itu, Mohd Nafuzi ketika mengulas mengenai pertembungan dengan Vietnam berkata pasukan telah membuat persediaan rapi kerana menyedari cabaran hebat yang bakal diberikan Vietnam sebagai satu pasukan pilihan.
"Kami akan bermain untuk menang (lawan Vietnam), untuk mendapatkan tiga mata dan yang paling penting kami tidak kalah," katanya.
Skuad Harimau Muda dijadualkan berdepan Vietnam di Stadium Nasional Rajamangala di sini pada Khamis ini, dengan keputusan seri sudah memadai untuk memastikan anak buah Mohd Nafuzi mara ke separuh akhir selaku juara Kumpulan B.
Malaysia dan Vietnam kini berkongsi tiga mata di dua posisi teratas kumpulan dengan dipisahkan menerusi perbezaan gol manakala Laos berada di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.
Sebagai rekod, Malaysia terkandas seawal peringkat kumpulan pada edisi 2023 di Kemboja selepas tewas dalam aksi penentuan pingat gangsa pada edisi 2021 di Hanoi. Kali terakhir skuad negara menaiki podium ialah ketika memenangi pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


