PENGURUS Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, mempertahankan keputusannya kerana meletakkan Cristiano Ronaldo di bangku simpanan sebelum rehat antarabangsa sambil menegaskan dia sedang belajar daripada kesilapannya kerana terlalu bergantung kepada sesetengah pemain.

Ronaldo sekadar memainkan peranan sebagai pemain gantian ketika The Red Devils seri 1-1 dengan Everton dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) lalu.

Anak buahnya mempamerkan aksi longlai untuk sekadar merakamkan dua kemenangan daripada tujuh perlawanan terakhir liga.

Ronaldo dimasukkan dalam separuh masa kedua untuk membuat penampilan ke-200 bersama United, secara tidak langsung menjadi satu-satunya pemain kelima sejak 2003 yang mencapai angka itu dalam dua daripada lima liga utama Eropah.

Bintang Portugal itu kelihatan berang ketika menuju ke terowong selepas wisel penamat dan sebuah video membabitkan perbualan jaguh seni bela diri, Khabib Nurmagomedov -- yang menjadi tetamu kelab berkenaan -- bersama Alex Ferguson yang mempersoalkan keputusan Solskjaer tersebut.

Begitupun, Solskjaer mengakui dia sememangnya mahu menurunkan Ronaldo -- yang menjaringkan empat gol dalam dua perlawanan buat Portugal baru-baru ini -- seberapa kerap yang boleh tetapi menegaskan dia perlu melihat secara jangka panjang.

"Dia merupakan pemain, penyudah, pencetak gol dan profesional yang luar biasa," kata Solskjaer kepada wartawan menjelang pertembungan dengan Leicester City, malam ini.

"Sukar untuk mengetepikannya dan semua pemain orang suka terbabit dalam enam perlawanan berturut-turut dan tampil dalam kesebelasan yang sama. Ia bagus, tetapi mereka perlu bergilir-gilir juga.

"Kami perlu sampai ke Mei depan dengan semua orang dalam keadaan terbaik. Pada Mei lalu kami sedikit keletihan ketika turun dalam perlawanan terakhir.

"Saya adalah pengurus, saya yang akan menguruskan kelab ini. Tentu sahaja adalah lebih seronok apabila kelibatnya ada di atas padang kerana dia akan selalu memberikan kami kelebihan, semakin kerap kami memilikinya di lapangan, semakin bagus."