SAFAWI RASID muncul wira skuad bawah 23 tahun negara apabila menjaringkan dua gol untuk Malaysia menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam perlawanan bola sepak Sukan Asia 2018 di Stadium Si Jalak Harupat di Bandung, Indonesia.

Kemenangan ini bermakna Malaysia mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati selepas mencatat kemenangan kedua berturut-turut dalam saingan kumpulan E.

Malaysia berada di depan pada minit ke-5 apabila Safawi memanfaat peluang kekeliruan penjaga gol Korea, Song Bumkeun dengan pertahanannya untuk menjaringkan gol pertama perlawanan.

Malaysia yang lebih banyak bertahan dalam perlawanan ini menyaksikan penjaga gol negara, Haziq Nazli cemerlang menyelamatkan percubaan jarak dekat Hwang Hee Chan untuk Malaysia kekal di depan pada minit ke-34.

Anak buah Datuk Ong Kim Swee mendapatkan gol kedua apabila Safawi merembat dari jarak jauh berjaya menewaskan Bumkeun pada masa kecederaan babak pertama.

Korea kemudian memasukkan bintang Tottenham Hotspur, Son Hyeung Min pada minit ke-57, untuk membantu jentera serangan mereka.

Hwang Ui Jo berjaya merapatkan jurang apabila menyudahkan hantaran cantik Lee Jinhyun pada minit ke-88.

Hyeung Min mempunyai peluang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-90 menerusi sepakan percuma, namun tendangannya sedikit tersasar.

Sebelum ini, Malaysia mengalahkan Kyrgyzstan 3-1 dalam perlawanan pertama kumpulan E, manakala Korea membelasah Bahrain 6-0.

Selepas ini Malaysia akan bertemu Bahrain dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada 20 Ogos jam lapan malam waktu Malaysia.