IPOH: Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu secara peribadi menyifatkan bukan mudah untuk kontinjen negara mengekalkan sasaran tujuh pingat emas pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Katanya, justeru sasaran jumlah pingat emas yang rendah iaitu enam atau lima pingat dilihat lebih realistik susulan ketiadaan penyertaan dua atlet sandaran, Lee Zii Jia dan S Sivasangari.

Walau bagaimanapun, Ahmad Faizal berkata beliau menyerahkan kepada pihak bertanggungjawab, termasuk Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN), bagi mengadakan perbincangan lanjut berhubung perkara itu.

Jelas beliau ketepatan sasaran pingat emas bagi temasya sukan antarabangsa itu juga harus melihat kepada sukan-sukan yang tidak disasarkan sebelum ini.

“Saya melihat bahawa dengan pencapaian yang telah dicapai Datuk Pandelela Rinong di dalam kejohanan baru-baru ini, yang sebelum itu tidak diletakkan sasaran emas bagi beliau di Komanwel.

“Saya fikir mungkin pihak MOM dan juga MSN boleh memikirkan semula. Saya fikir kita boleh letakkan sasaran emas bagi Pandelela, sebagai contoh.

“Namun saya fikir bukan mudah untuk kita kekal kepada tujuh emas sasaran. Mungkin lebih rendah, seperti sekitar lima atau enam emas. (Itu pandangan) saya secara peribadi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meraikan 23 bekas atlet pada acara Meraikan Legenda-Legenda Sukan Trek dan Padang di Kelab Diraja Ipoh, dekat sini, pada Sabtu.

Sebelum ini, Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel 2022, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata sasaran tujuh pingat emas negara pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 berubah susulan ketiadaan penyertaan dua ayam tambatan negara itu.

Media juga turut melaporkan dua penerjun negara, Pandelela dan Nur Dhabitah Sabri berjaya meraih pingat gangsa di Kejohanan Dunia dekat Budapest, Hungary, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata ketika ini keadaan Sivasangari semakin stabil selain meminta semua pihak dapat memberi dorongan dan semangat agar pemain skuasy wanita negara itu dapat kembali beraksi.

“Daripada pemantauan yang kita buat, beliau berada dalam keadaan stabil dan ada peningkatan kesihatan.

“Namun  kecederaan yang beliau alami itu memang memerlukan masa yang agak panjang untuk pulih sepenuhnya.

“Jadi mari kita sama-sama mendoakan beliau dan juga memberi dorongan agar beliau tidak patah semangat, kerana banyak perkara yang perlu beliau lakukan selepas ini,” jelas Ahmad Faizal.