PHNOM PENH: Cuaca panas terik mencecah hampir 40 darjah Celsius tidak menghalang jaguh baling tukul besi wanita negara, Grace Wong daripada mencipta kejayaan berganda pada Sukan SEA 2023 hari ini.

Selain mempertahankan emas dimenanginya, Grace turut memperbaharui rekod temasya yang diciptanya pada edisi 2017 di Kuala Lumpur iaitu 59.24 meter (m) dengan catatan baharu 61.87m menerusi balingan keempatnya pada hari pertama acara olahraga di Stadium Nasional Morodok Techo.

Lebih manis, kejayaan atlet dari Sarikei itu diraikan bersama seorang lagi wakil negara, Nurul Hidayah Lukman, yang meraih gangsa selepas melakukan catatan 49.61m, manakala pingat perak dimenangi wakil Thailand Mingkamom Koomphon dengan 57.86m.

"Saya suka cuaca panas di sini, macam Malaysia dan ia membantu saya buat yang terbaik di Sukan SEA kali ini," katanya kepada pemberita di sini.

Mengakui sedikit gementar dalam saingan hari ini, atlet berusia 23 tahun itu bagaimanapun tetap bersyukur dapat mengatasi perasaan tersebut selain berpuas hati dengan catatan dilakukannya.

Menurut Grace, kem latihan hampir tiga bulan di Chengdu, China benar-benar membantunya dalam meraih emas ketiga peribadinya di temasya dwitahunan itu dan berharap dapat mengatasi rekod kebangsaan miliknya 62.48m dalam temasya Sukan Sukan Universiti Dunia di Chengdu, China, Julai ini.

Sementara itu, Nurul Hidayah gembira dapat membawa pulang pingat pertama dalam penampilan sulungnya di sini biarpun sedikit terkilan tidak dapat memperbaharui catatan peribadi 52.49m yang dilakukannya di Sukan Universiti ASEAN, tahun lepas.

Atlet berusia 22 tahun itu pada masa sama berterima kasih kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) atas sokongan dan bantuan selama ini termasuk menghantarnya berlatih di China selama sebulan sebelum ke Kemboja, baru-baru ini.

-- BERNAMA