JURULATIH skuad B23 negara, Brad Maloney, mengingatkan anak buahnya usah diselubungi perasaan dendam berdepan Laos walaupun aib di bumi Kemboja masih berbekas dalam memori mereka.

Sebaliknya, Maloney menuntut barisan pemain negara kekal fokus tatkala pertahanan, Harith Haiqal Adam Afkar ketika memberi perkongsian lanjut kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam tetap menganggap Laos sebagai lawan yang perlu dihormati.

Sememangnya, pertemuan menentang Laos hari ini menjadi peluang terbaik buat skuad muda negara menebus kehampaan dalam Kejohanan AFF B23 di Kemboja, Februari lalu.

Ia menyaksikan skuad bimbingan Maloney yang tidak diperkuatkan barisan pemain ampuh ketika itu tewas dua perlawanan kepada lawan dengan keputusan 1-2 dan 0-2.

Namun, Maloney enggan pemainnya terjerat dengan keghairahan untuk membalas dendam setelah berjaya membuka kempen Sukan SEA dengan nota kemenangan.

"Kami akan cuba menghadapi perlawanan secara positif, mengambil perlawanan demi perlawanan serta menghormati kemampuan pasukan lawan," kata Maloney.

"Laos telah mempamerkan peningkatan sejak kebelakangan ini dan kehadiran pengendali baru itu telah membantu mereka untuk ke tahap lebih baik. Ia dapat disaksikan dalam aksi pertama ketika mereka bertemu Singapura tempohari."

Sementara itu, jurulatih skuad B23 Laos, Michael Weiss, tampak mengibar bendera putih apabila menegaskan pasukannya tidak berpeluang untuk mengulangi kejayaan menundukkan Malaysia.

Ini susulan barisan pemain Laos dilanda masalah kepenatan menjelang pertemuan kedua-dua pasukan di Stadium Thien Truong hari ini.

Pengakuan terbuka itu dibuat Weiss dalam sidang media selepas anak buahnya sekadar mengutip satu mata daripada dua perlawanan dan terbaru mereka tumpas 1-4 menentang Kemboja.

Keputusan itu sememangnya tidak dijangka memandangkan Laos dianggap antara pencabar dalam Kumpulan B berdasarkan pencapaian dalam Kejohanan AFF B23.

Ia menyaksikan skuad bimbingan pengendali dari Jerman itu berjaya mara ke separuh akhir dengan mencipta dua kemenangan sensasi ke atas Malaysia di peringkat kumpulan.