Sukan SEA: Haqimi Azim kembali, Harimau Muda yakin cabar Thailand - Mohd Nafuzi

Muhammad Haqimi yang dibenarkan pulang untuk mengurus pengebumian bapa tirinya pada Selasa lepas, dijadualkan melapor diri bersama pasukan petang ini. - Gambar fail/Bernama
BANGKOK: Penyerang Muhammad Haqimi Azim Rosli akan kembali bersama dengan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan menjelang perlawanan separuh akhir bola sepak lelaki Sukan SEA Thailand 2025 menentang pasukan tuan rumah di sini, Isnin depan.
Ringkasan AI
- Muhammad Haqimi Azim Rosli kembali bergabung dengan pasukan B-23 Malaysia selepas pulang mengurus pengebumian bapa tirinya, dijangka sertai pasukan menjelang perlawanan separuh akhir Sukan SEA Thailand 2025.
- Ketua jurulatih, Mohd Nafuzi Zain, menyatakan kepentingan kehadiran Muhammad Haqimi disebabkan kekurangan penyerang akibat cedera dalam pasukan.
- Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri menyeru rakan sepasukan untuk memberikan tumpuan sepenuhnya serta tidak terlalu menghormati lawan dalam perlawanan menentang Thailand, menegaskan keperluan untuk fokus mencari pingat emas.
"Kita pun memang perlukan dia sebab ada beberapa pemain yang cedera, jadi kita mengharapkan dia kerana dia satu-satunya penyerang yang kita ada," katanya ketika ditemui pemberita di hotel pasukan di sini, hari ini.
Muhammad Haqimi yang menjaringkan satu gol dalam kemenangan 4-1 Malaysia menentang Laos pada aksi pertama Kumpulan B Sabtu lepas, terpaksa meninggalkan pasukan untuk pulang ke tanah air, sekali gus terlepas aksi kedua menentang Vietnam yang menyaksikan Malaysia tewas 0-2 pada Khamis lepas.
Pada masa sama, Mohd Nafuzi berkata penyerang Sabah FC Fergus Tierney turut tidak dapat memperkuat pasukan bagi pertemuan menentang Thailand susulan perlawanan akhir Piala FA yang menemukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan Sabah, esok.
Sementara itu, Mohd Nafuzi berkata skuad Harimau Muda sudah bersedia untuk berdepan dengan Thailand dalam misi melayakkan diri ke final dan memenangi pingat emas.
Beliau optimis anak buahnya yang telah mencapai sasaran awal dengan melepasi saingan peringkat kumpulan, berupaya mencipta kejutan biarpun Thailand mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri.
"Dari segi permainan dan kualiti individu, Thailand ialah satu pasukan yang baik, tetapi dengan kita layak ke separuh akhir sedikit sebanyak mengubah situasi perlawanan dan saya percaya motivasi serta persembahan pemain berada pada tahap yang tinggi," katanya.
Satu lagi aksi separuh akhir menyaksikan Vietnam bertemu Filipina.
Dalam pada itu, pemain pertahanan negara Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri menggesa rakan sepasukan supaya memberikan 100 peratus tumpuan dan tidak terlalu menghormati lawan sehingga boleh menjejaskan permainan.
"Semestinya pasti ramai peminat (Thailand) akan datang ke stadium. Tak perlu gugup ataupun gementar. Kita bermain sebagaimana yang kita harus bermain dan beri tumpuan penuh apabila berada di dalam padang.
"Saya mengharapkan semua pemain fokus kepada sasaran yang sepatutnya kita cari, untuk kita dapatkan pingat emas," katanya.
Sebagai rekod, Malaysia terkandas seawal peringkat kumpulan pada edisi 2023 di Kemboja selepas tewas dalam aksi penentuan pingat gangsa pada edisi 2021 di Hanoi.
Kali terakhir skuad negara menaiki podium adalah ketika memenangi pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


