PHNOM PENH: Pengendali skuad Bawah 22 Tahun (B-22) kebangsaan E. Elavarasan seakan tidak dapat menerima kenyataan bahawa pasukan bimbingannya tersingkir daripada saingan bola sepak lelaki Sukan SEA 2023.

Peluang skuad Harimau Muda untuk mara ke peringkat separuh akhir tertutup selepas tewas 1-2 kepada Vietnam pada perlawanan ketiga Kumpulan B yang berlangsung di Stadium Prince di sini, malam tadi.

Beliau berkata dengan kualiti permainan yang ditunjukkan anak buahnya ketika menentang juara bertahan Vietnam itu, sepatutnya Malaysia layak beraksi di pentas final.

"Kita memang sasar untuk sekurang-kurangnya pergi ke perlawanan akhir, dari standard yang kita tunjuk tadi sepatutnya kita berada di sana (final).

"Kadang-kadang dalam keadaan sebegini kita kena terima keputusan-keputusan dibuat oleh pihak lain.

"Kadang-kadang kita kena terima yang kita main bagus, bukan tak bagus.

"Kita tak dapat menjaringkan gol bila kita ada peluang jadi kita terpaksa terima yang kita tersingkir," katanya pada sidang media selepas perlawanan di sini.

Kekalahan malam tadi menyaksikan perjalanan skuad B-22 pada Sukan SEA kali ini berakhir setelah gagal melepasi saingan peringkat kumpulan dengan hanya mengumpul tiga mata daripada tiga perlawanan iaitu menang 5-1 ke atas Laos dan tewas 0-2 di tangan Thailand.

Vietnam pula yang mencatat kemenangan ketiga berturut-turut selepas menewaskan anak buah Elavarasan, akan mengiringi Thailand ke pusingan kalah mati selepas kedua-duanya berkongsi sembilan mata di kedudukan teratas.

Walaupun kecewa skuad bimbingannya gagal mencapai sasaran layak ke final seperti ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Elavarasan masih berbangga dengan elemen positif yang ditunjukkan para pemain.

"Saya jarang tengok Sukan SEA tetapi ini pertama kali saya bawa pasukan, jadi pada saya boleh nampak DNA skuad senior itu boleh dicapai ataupun dicapai pada masa akan datang untuk pemain dinaikkan ke skuad senior," katanya

Mengulas lanjut, Elavarasan berkata pasukan masih perlu memberikan tumpuan dan mempamerkan persembahan terbaik ketika menentang Singapura pada baki aksi kumpulan menentang Singapura Khamis ini.

Dengan tersingkirnya pasukan negara, anak buah Elavarasan mengulangi episod 2019 di Manila, Filipina, selepas 'pulang' awal apabila menamatkan saingan kumpulan di kedudukan keempat.

Edisi 2021 di Hanoi, Vietnam tahun lepas, Malaysia menamatkan saingan di tempat keempat.

Kali terakhir Malaysia membawa pulang pingat adalah pada edisi 2017 di Kuala Lumpur selepas meraih perak sementara kali terakhir merangkul emas pada edisi 2011 di Indonesia.

-- BERNAMA