KUALA LUMPUR: Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam akan berlangsung dari 12 hingga 23 Mei tahun depan.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam kenyataan memaklumkan tarikh temasya dwitahunan itu disahkan pada mesyuarat Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) secara maya pada Selasa.

Menurut MOM sebanyak 40 jenis sukan dan 526 acara akan dipertandingan pada temasya itu.

MOM diwakili tiga perwakilan diketuai Presidennya Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, Naib Presiden Datuk Mumtaz Jaffar dan Setiausaha Agung Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib manakala Datuk Sieh Kok Chi turut hadir pada mesyuarat itu atas kapasiti sebagai Ahli Kehormat SEAGF.

MOM memaklumkan mesyuarat tersebut telah memutuskan Sukan SEA ke-32 di Kemboja akan diadakan dari 5 hingga 17 Mei 2023 dengan 42 jenis sukan dicadangkan daripada Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Kemboja (CAMSOC) untuk pertimbangan.

Sukan SEA ke-33 di Thailand pula akan diadakan di Bangkok pada 2025 namun tarikh, sukan dan acara akan disahkan kemudian.

"Mesyuarat Majlis SEAGF seterusnya untuk membincangkan penganjuran Sukan SEA ke-32 Kemboja akan diadakan pada Februari 2022 manakala perbincangan mengenai penganjuran Sukan SEA ke-31 di Vietnam akan diadakan pada 11 Mei 2022," menurut MOM.

Julai lepas, SEAGF mengesahkan Sukan SEA ke-31 yang dijadual berlangsung pada 21 Nov hingga 2 Dis lepas ditunda ke tahun depan susulan pandemik COVID-19.

-- BERNAMA