PHNOM PENH: Pemain snuker negara Moh Keen Hoo bangkit daripada ketinggalan untuk meraih pingat emas dalam acara 6-Red perseorangan lelaki pada Sukan SEA 2023 di sini hari ini.

Dalam aksi mendebarkan di Aeon Sen Sok Mall di sini hari ini, permainan ditampilkan Keen Hoo tidak menjadi pada awal saingan apabila ketinggalan 0-3 kepada wakil Laos Sitthideth Sabieng, sebelum berjaya menyamakan kedudukan 3-3.

Kedudukan itu tersebut ternyata memberikan keyakinan kepada atlet negara berusia 36 tahun itu bagi meraih kemenangan dalam dua set berikutnya untuk menoktahkan keputusan 5-3.

Kejayaan Keen Hoo itu sekali gus memperbaiki pencapaiannya pada edisi lepas di Hanoi, Vietnam apabila meraih gangsa dalam acara berkenaan, yang dimenangi rakan sepasukan Lim Kok Leong.

Kok Leong gagal mempertahankan gelaran itu selepas tumpas kepada Siththideth 2-5 pada aksi suku akhir semalam.

Sementara itu, Keen Hoo mengakui bahawa pada awal saingan, beliau gagal mempamerkan permainan terbaik disebabkan beraksi dalam keadaan tekanan.

"Pada awal permainan, memang ada tekanan kerana selepas Kok Leong tewas, tumpuan kepada saya bagi mendapatkan pingat emas, tapi selepas ketinggalan 0-3, saya cuba tenangkan diri dan nasib baik sempat kejar mata (penyamaan).

"Selepas itu pada permainan keempat dan kelima, dia (Sitthideth Sabieng) pula terlepas mendapatkan mata. Pada ketika itu saya mula mendapatkan keyakinan dan berjaya meraih kemenangan," katanya yang kini membuat penampilan kesembilan pada temasya dwitahunan itu.

Pencapaian Keen Hoo itu menyaksikan kontinjen negara meraih pingat emas ke-15 setakat ini.

-- BERNAMA