KUALA LUMPUR: Barisan atlet olahraga dan renang pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja diharap dapat menampung kehilangan 15 pingat emas yang dimenangi kontinjen negara pada edisi 2021 di Hanoi, Vietnam.

Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Kemboja 2023, Datuk Mohd Nasir Ali berkata, pihaknya mengharapkan keajaiban dari dua sukan berkenaan bagi menggantikan pingat yang 'lesap' dari sukan antaranya bina badan, gimrama dan terjun pada edisi lepas di Vietnam.

"Sebelum temasya berlangsung, ada sukan tidak dipertandingkan seperti bina badan dan memanah malah ada juga sukan dipertandingkan tapi dihadkan acaranya iaitu terjun dan angkat berat.

"Jadi dua isu itu sahaja menyebabkan kita kehilangan banyak pingat (Sukan SEA 2023) ... harap atlet muda buat kejutan dalam sukan seperti olahraga dan renang untuk tampung pingat yang hilang," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pengurus pasukan Sukan SEA 2023 di sini pada Rabu.

Olahraga dan renang sememangnya menawarkan pingat yang paling banyak berbanding sukan lain dalam mana-mana temasya sukan.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan kontinjen negara dapat memperbaiki kedudukan keenam diraih pada edisi 2021 dari segi carta pungutan pingat keseluruhan dengan menetapkan sasaran lebih tinggi di Kemboja.

Pada Sukan SEA 2021 Hanoi yang diadakan pada Mei lepas setelah ditangguh setahun kerana pandemik COVID-19, Malaysia sekadar menamatkan saingan di kedudukan keenam keseluruhan dengan kutipan 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa.

Mohd Nasir berkata, Institut Sukan Negara (ISN) akan menyediakan lebih ramai pegawai perubatan termasuk doktor dan pakar psikologi bagi membantu atlet negara mendapatkan rawatan mahupun bantuan dari aspek psikologi sepanjang temasya sukan tersebut berlangsung.

"Jumlah pegawai pasukan perubatan disediakan ISN kali ini adalah 40 orang termasuk doktor dan pakar psikologi. Memang tak cukup untuk menampung lebih 600 atlet kita di sana tapi jumlah tersebut lebih banyak berbanding 30 pegawai disediakan pada edisi lepas," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Najib menyarankan kontinjen negara supaya lebih berhati-hati sekiranya mahu menetapkan sasaran jumlah pingat lebih tinggi pada Sukan SEA 2023.

"Kita lihat ramai atlet pelapis sertai Sukan SEA buat kali pertama jadi kita belum tahu dia boleh capai prestasi lebih baik atau sebaliknya. Kita harus jaga harapan rakyat... kita lebih suka jangkaan yang rendah tapi akhirnya dapat buat kejutan dan bukannya letak sasaran tinggi namun akhirnya kecewa dari segi pencapaian," katanya.

Beliau berkata, MOM telah menyenaraikan tujuh calon terdiri daripada lima atlet lelaki dan dua wanita untuk ditugaskan membawa 'Jalur Gemilang' pada majlis pembukaan rasmi Sukan SEA 2023 nanti.

Kesemua mereka yang dicalonkan merupakan pemenang pingat emas Sukan SEA sebelum ini manakala pengumuman pembawa 'Jalur Gemilang' akan dilakukan sebelum majlis penyerahan bendera kepada kontinjen negara pada 30 April ini, katanya.

Sukan SEA 2023 akan berlangsung dari 5 hingga 17 Mei ini. - BERNAMA