PHNOM PENH: Pelumba negara Nur Amirull Fakhruddin Mazuki meneruskan rentak cemerlang apabila merangkul pingat emas acara lepas beramai-ramai elit lelaki pada Sukan SEA 2023 di laluan di Angkor Wat, Siem Reap, hari ini.

Kejayaan pada perlumbaan sejauh 150.6 kilometer di kawasan berkenaan, yang terletak kira-kira 320 kilometer dari bandar ini, sangat bermakna apabila skuad berbasikal lebuh raya Malaysia berjaya mempertahankan pingat emas dimenangi pada edisi di Hanoi, Vietnam, tahun lepas.

Pencapaian tersebut sekali gus menyaksikan pelumba kelab benua Terengganu Cycling Team (TSG) itu menambah koleksi kemenangan selepas meraih perak menerusi acara kriterium elit lelaki, semalam.

Pada perlumbaan hari ini, Nur Amirull Fakhruddin selesa mendahului pelumba Indonesia Aiman Cahyadi yang meraih pingat perak sehingga garisan penamat dengan catatan masa 3 jam 22 minit 50 saat.

Tonggak Filipina, Ronald Oranza turut melebarkan kutipan pingatnya apabila memenangi gangsa selepas memenangi pingat sama dalam acara kriterium. Ketiga-tiga pelumba mencatat masa yang sama.



SEA-BERBASIKAL 2 (AKHIR) PHNOM PENH



Nur Amirull Fakhruddin bersyukur dengan kejayaannya itu kerana pada Ramadan lepas, beliau sentiasa berdoa supaya pasukan negara memperoleh pencapaian terbaik di temasya kali ini.

"Sepanjang bulan Ramadan, saya banyak berdoa. Saya minta berilah satu kejayaan kepada pasukan Malaysia. Tak kira siapa yang menang asalkan kejayaan itu berpihak kepada skuad Malaysia.

"Alhamdulillah, Allah SWT makbulkan doa saya. Paling manis saya menang pingat emas dalam acara kegemaran semua pelumba di rantau Asia Tenggara. Terima kasih kepada semua khususnya rakan sepasukan dan pengurusan di sini," katanya.

Perlumbaan tersebut dianggap antara yang terpantas dalam sejarah acara lepas beramai-ramai di temasya Sukan SEA dengan kelajuan purata 44.55 kmj.

Jurulatih skuad negara Mohd Sayuti Mohd Zahit memuji anak buahnya yang patuh kepada semua percaturan yang ditetapkan.

"Saya arah Nur Amirull Fakhruddin kawal Terry (Yudha Kusuma). Terry sangat berbahaya dan boleh melakukan kejutan. Apabila Terry nampak agak kurang bermaya, saya arahkan Nur Amirull Fakhruddin untuk terus ke hadapan.

"Nur Amirull Fakhruddin faham arahan saya dan syukur kita menang pingat emas pada hari ini," katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan negara, Norazman Abu Samah mengakui tidak terkejut dengan kejayaan Nur Amirull Fakhruddin kerana percaya dengan keupayaan kesemua pelumba Malaysia pada perlumbaan di temasya kali ini.

-- BERNAMA