PETALING JAYA: Brad Maloney membayangkan beberapa muka baharu mungkin berpeluang mewakili negara buat julung kali menerusi skuad bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) negara dalam Sukan SEA Ke-31 di Hanoi, Vietnam, bulan depan.

Ketua Jurulatih B-23 itu berkata beberapa muka yang dipanggil buat kali pertama menunjukkan aksi yang mengagumkan semasa latihan pusat dan perlawanan persahabatan malam semalam yang menyaksikan skuad negara tewas 1-2 kepada skuad B-23 Timor-Leste.

"Saya lihat beberapa pemain menunjukkan merit dan boleh menyumbang kepada pasukan. Baik untuk menyaksikan kombinasi antara muka baharu dan muka lama.

"Belum lagi (memuktamadkan pemilihan), sesetengah pemain mungkin lebih ke depan daripada yang lain, tetapi kami tidak menutup pintu lagi. Kami mahu memberi setiap pemain peluang," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Kompleks Sukan PKNS di sini malam Sabtu.

Beliau berkata pasukan kejurulatihan akan terus memantau dan menilai pemain dan mungkin memuktamadkan senarai nama 20 pemain selepas perlawanan persahabatan kedua menentang Filipina, malam Ahad.

Maloney yang kini mengendalikan 30 pemain dalam pasukannya berkata kecergasan keseluruhan mereka adalah baik dan beliau tidak bimbang dengan tahap kecergasan mereka kerana mereka sering beraksi untuk kelab masing-masing.

Sementara itu, pemain tengah Nik Akif Syahiran Nik Mat yang menyasarkan untuk membuat penampilan kedua pada Sukan SEA mahu menggunakan pengalaman yang ada dan membuktikan kebolehannya di Hanoi, jika terpilih.

"Saya akan bermain 100 peratus untuk Malaysia dan buktikan pada jurulatih dengan harapan boleh memberikan aksi yang terbaik pada temasya kali ini.

Saya juga akan menggunakan pengalaman saya belajar ketika beraksi di Liga Malaysia selama ini di Sukan SEA nanti," kata pemain Terengganu FC itu.

Malaysia yang merupakan juara enam kali diundi di dalam Kumpulan B dijadualkan berlepas ke Hanoi Rabu ini untuk menyertai temasya sukan serantau itu.

Malaysia akan berhadapan juara 16 kali Thailand pada 7 Mei sebelum bertemu Laos (11 Mei), Singapura (14 Mei) dan Kemboja (16 Mei) di Stadium Thien Truong, Nam Dinh. Hanya dua pasukan teratas daripada setiap kumpulan akan layak ke separuh akhir.

-- BERNAMA