BANGKOK: Persatuan Bola Sepak Thailand (FA Thailand) memohon maaf susulan kekecohan ketika perlawanan akhir Sukan SEA ke-32 menentang Indonesia yang berlangsung di Phnom Penh, Kemboja pada Selasa.

FA Thailand dalam satu kenyataan memaklumkan satu jawatankuasa tatatertib akan ditubuhkan bagi menyiasat secara menyeluruh individu yang memulakan atau terlibat dalam insiden itu.

Thailand tewas 5-2 selepas perlawanan memasuki masa tambahan dan menamatkan permainan dengan hanya lapan pemain beraksi di padang.

"FA Thailand menyuarakan kekesalan yang mendalam atas insiden yang berlaku semasa perlawanan akhir. Insiden pada Selasa itu merosakkan imej pasukan Bola Sepak Kebangsaan Thailand.

"Kami memohon maaf secara rasmi kepada semua organisasi lain yang terlibat dan atas sebarang kesulitan atau gangguan disebabkan kekecohan itu," menurut kenyataan itu.

FA Thailand memaklumkan jawatankuasa tatatertib akan mengumpul fakta dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peraturan yang ditetapkan.

"Tiada perlindungan atau imuniti diberikan kepada mereka yang bertanggungjawab atas salah laku dalam kejadian ini. Hasilnya, prosedur penyiasatan akan dimulakan dengan segera selepas pasukan itu kembali ke Thailand," tambah kenyataan itu.

FA Thailand mengalu-alukan cadangan membina yang bertujuan meningkatkan prestasi dan mencegah kejadian sama berlaku pada masa hadapan.

Kenyataan itu juga menegaskan bahawa kakitangan kejurulatihan dianggap sebagai wakil FA Thailand yang seharusnya mempamerkan profesionalisme pada setiap masa.

Pada Selasa, dua insiden pergaduhan dan empat kad merah dilayangkan ketika perlawanan akhir.

Antara mereka yang dibuang padang ialah penjaga gol Thailand, Soponwit Rakyart yang turut terlibat dalam pertelingkahan itu.

Sementara itu, dua lagi pemain Thailand dibuang padang pada masa tambahan selepas dilayangkan kad kuning kedua.

-- BERNAMA