IPOH: Kontijen Perak akan menyertai kesemua 31 jenis sukan yang akan dipertandingkan dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022 pada September sehingga Oktober depan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri Khairul Shahril Mohamed berkata walaupun tidak meletakkan sasaran kejayaan tinggi namun keputusan itu dibuat bagi meraikan sebanyak mungkin persatuan sukan di Perak.

“Konsep yang kita bawa kali ini kita juga nak meraikan kesemua persatuan sukan, maksudnya sukan-sukan  dalam kategori B.

“Kita tahu mereka tak nampak macam mempunyai apa-apa sasaran khususnya pingat. Tetapi kita juga galakkan untuk mereka menyertai kerana kita yakin proses untuk melahirkan jaguh ini bukan dalam tempoh yang singkat, tapi berpanjangan.

“Misalnya untuk acara gimrama, mereka memberitahu mungkin tidak mampu untuk menghasilkan kutipan pingat, tapi kita yakin dalam dua tahun lagi ia dapat melahirkan atlet yang mampu ke podium,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Bersama Rakan Strategik Sukan antara Majlis Sukan Negeri (MSN) dengan VIQ Apparel Sdn Bhd dan Global Sports Medical Supplier Sdn Bhd di sini pada Rabu.

Daripada kerjasama itu, penajaan berjumlah RM150,000 meliputi pakaian rasmi dan perubatan akan diterima MSN Perak bagi membantu kontinjen negeri beraksi pada Sukma 2022.

Sebanyak 31 jenis sukan akan dipertandingkan dalam Sukma 2022 yang akan berlangsung pada bulan September hingga Oktober nanti di Kuala Lumpur.

Sebanyak 15 jenis sukan wajib dan 15 sukan pilihan yang akan dipertandingkan dalam temasya sukan dwitahunan itu.

Dalam pada itu, Khairul Shahril berkata Perak masih optimis dalam sasaran kutipan 50 pingat emas bagi temasya sukan tersebut.

Menurutnya daripada kesemua jumlah pingat berkenaan, sukan menembak dilihat mampu mengutip pingat terbanyak dengan tujuh emas.

“Sasaran kita bukan sekadar seronok sendiri sebaliknya ia diputuskan berdasarkan kepada prestasi semasa pada kejohanan-kejohanan terkini.

“Ini yang kita tekankan bahawa sasaran emas itu dibuat berdasarkan kepada kesesuaian situasi semasa (perkembangan atlet kita),” katanya lagi.