Jaringan bekas pemain England Emile Heskey berjaya membantu pasukannya Newcastle Jets meraih tiga mata penuh menewaskan Sydney FC 2-1 dalam satu perlawanan bola sepak Liga Australia.

Ini kemenangan pertama Newcastle selepas gagal dalam lima perlawanan sebelum ini.

Melayan kunjungan Sydney yang kembali diperkuatkan bekas pemain Itali Alessandro Del Peiro di Hunter Stadium, Newcastle bermula garang.

Seawal minit ke-13, tuan rumah berjaya di depan hasil jaringan cantik Craig Goodwin.

Minit ke-26, tuan rumah menggandakan kelebihan menerusi Heskey yang mudah menolak masuk bola hantaran James Virgili.

Ketinggalan 2-0 bagaimanapun tidak melemahkan semangat pasukan pelawat untuk bangkit. Selang sepuluh minit, mereka merapa jurang hasil jaringan Yairo Yau.

Masuk babak kedua, pelawat meneruskan pemburuan gol namun gagal menemui penyudah sehinggalah perlawanan kekal 2-1 memihak tuan rumah tamat sepenuh masa.

Kemenangan melonjak kedudukan Newcastle ketangga keenam manakala Sydney FC kekal menghuni tangga tercorot liga.