KUALA LUMPUR: Pasukan Liga M3, BRM FC masih berpeluang untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) sekiranya bertindak mengubah penggunaan jersi memaparkan logo penaja daripada jenama rokok elektronik kepada jersi lain.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Stuart Ramalingam berkata berdasarkan peraturan yang ditetapkan oleh Liga-M, sebarang pengiklanan berkaitan judi, rokok, rokok elektronik dan minuman alkohol adalah tidak dibenarkan.

Katanya penyertaan BRM FC dalam saingan Piala FA terletak di bawah MFL, manakala bagi Liga M3 terletak pada bidang kuasa Liga Bolasepak Amatur (AFL).

"Kita tidak membenarkan jersi itu dipakai ketika pertandingan kerana ia melibatkan isu sekatan ke atas pengiklanan," katanya ketika ditemui di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, di sini hari ini.

Menurut Stuart, bagaimanapun apa jua keputusan terletak di atas pasukan itu sendiri yang sebelum ini turut dilapor mahu menarik diri daripada terbabit dalam saingan Liga M3 rentetan isu tersebut.

"Kami harap pasukan BRM FC masih boleh bermain dalam Piala FA, tetapi itu terpulang kepada keputusan mereka kerana impaknya lebih kepada penyertaan di dalam Liga M3.

"Bagi Piala FA, kita dah jalankan undian yang mengesahkan penyertaan. Kita tidak akan ubah format atau beri peluang pasukan lain main di mana pasukan yang sepatutnya menentang BRM FC akan mendapat 'bye' (jika BRM FC menarik diri)," katanya.

Sebelum ini, sebuah portal bola sepak tempatan mempersoalkan penajaan sebuah syarikat rokok elektronik terhadap kelab tersebut kerana dianggap melanggar syarat penajaan pasukan bola sepak dalam Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Kontroversi itu tercetus selepas logo syarikat rokok elektronik berkenaan terpapar pada jersi yang dilancarkan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim baru-baru ini.

-- BERNAMA