MELAKA TENGAH: Keputusan menggantung atau menamatkan perkhidmatan jurulatih pasukan bola tampar Melaka B-14 (Wanita) yang bertindak menampar pemainnya baru-baru ini, hanya akan diketahui pada Rabu.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), VP Shanmugam berkata, ia memandangkan isu berkenaan telah diselesaikan lebih awal sebelum video berhubung insiden berkenaan tular di media dan mendapat perhatian pelbagai pihak.

Beliau berkata, Majlis Sukan Negeri (MSN) juga belum membuat apa-apa keputusan meskipun Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) telah menggantung penglibatan jurulatih lelaki yang juga seorang guru itu daripada melibatkan diri di dalam semua aktiviti bola tampar kebangsaan.

"Saya rasa buat masa ini, oleh kerana perkara ini sudah diselesaikan secara baik, tapi bagaimanapun hari Rabu selepas post-Exco saya akan panggil jurulatih dan yang  berkenaan untuk tanya apa tindakan yang akan diambil, kalau mereka rasa menerima dengan hati terbuka dan maafkan jurulatih, tiada futher action, saya selaku Exco bertanggungjawab dan akan lakukan yang terbaik untuk selesaikan," kata Shamugan. 

Terdahulu, tular kejadian yang memaparkan jurulatih tersebut bertindak menampar dua pemain ketika membimbing pasukan melaka ketika kejohanan bola tampar remaja bawah 14 tahun yang diadakan 16 Disember lalu.

BACA: Tular jurulatih tampar pemain: 'Ini tidak sepatutnya berlaku' - Hannah Yeoh

Insiden itu telah mendapat perhatian beberapa pihak antaranya Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta mantannya, Datuk Seri Faizal Azumu, yang menyelar tindakan berkenaan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan sedang berusaha untuk mendapatkan butiran lanjut isu yang tular ini kerana membabitkan pelajar bawah umur.

Susulan itu, MAVA mengambil keputusan untuk menggantung jurulatih berkenaan sehingga siasatan selesai dijalankan.

Mengulas lanjut shanmugam berkata, siasatan berhubung perkara berkenaan telah dibuat lebih awal sebelum kejadian itu ditularkan susulan laporan yang diterima oleh jawatankuasa teknikal Kejohanan Bola Tampar (remaja bawah 14) yang diadakan di Kota Tinggi, Johor bulan lalu.

Tampar Pemain | Jurulatih digantung tugas aktiviti kebangsaan

Ujarnya, laporan awal kejadian juga telah diterima pada semalam dan meskipun tindakan dilakukan jurulatih berkenaan melampaui batas, namun permohonan maaf kepada pemain dan ibu bapa mereka juga sudah dibuat pada hari kejadian.

Katanya, bagaimanapun langkah penyelesaian secara pragmatik akan diambil bagi memastikan situasi menang-memang kepada semua pihak meskipun jurulatih berkenaan merupakan seorang pelatih yang berdedikasi selain sudah melatih kumpulan berkenaan sejak mereka berada di bangku sekolah rendah.