SUKAN
Tandukan Calafiori pastikan Arsenal benam United 1-0 di Old Trafford

Riccardo Calafiori muncul sebagai wira Arsenal selepas menanduk masuk gol tunggal perlawanan ketika menewaskan Manchester United 1-0 dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, awal pagi Isnin. - Gambar Reuters
MANCHESTER: Riccardo Calafiori muncul sebagai wira Arsenal selepas menanduk masuk gol tunggal perlawanan ketika menewaskan Manchester United 1-0 dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford, awal pagi Isnin.
Gol berharga itu hadir seawal minit ke-13 menerusi situasi sepakan sudut.
Pertahanan Arsenal, William Saliba, berjaya mengganggu penjaga gol United, Altay Bayindir yang sekadar menepis lemah bola hantaran Declan Rice sebelum disambar Calafiori dengan tandukan jarak dekat.
Walaupun dikejutkan dengan jaringan awal, United tampil lebih dominan selepas itu.Beberapa muka baharu skuad kendalian Ruben Amorim – termasuk Matheus Cunha, Bryan Mbeumo dan Patrick Dorgu – berpeluang menyamakan kedudukan namun gagal menyudahkan deretan peluang.
Arsenal dipaksa bertahan hampir sepanjang babak kedua dengan penjaga gol mereka, David Raya, menjadi benteng terakhir menafikan percubaan berbahaya United, termasuk tandukan padu Mbeumo yang diselamatkan dengan aksi terbang.
Statistik turut membuktikan kekuatan Arsenal dalam situasi bola mati.
Sejak musim 2023-24, skuad kendalian Mikel Arteta merekodkan 31 gol hasil sepakan sudut – sekurang-kurangnya 11 lebih banyak berbanding mana-mana pasukan lain.
Malah, tiga daripada empat gol terakhir Arsenal menentang United hadir menerusi corak yang sama.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami