MALAYSIA
Isu Jalur Gemilang: Jangan biar 'penghasut kebencian' bermaharajalela - Shahredzan Johan

Syahredzan berkata, sewajarnya siasatan berhubung isu Jalur Gemilang dilakukan oleh pihak berkuasa, termasuk Jabatan Peguam Negara. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan menggesa pihak berkuasa menyiasat pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap isu hangat, khususnya kematian pelajar Zara Qairina Mahathir dan Jalur Gemilang dipasang terbalik.
Ringkasan AI
- Syahredzan Johan menggesa siasatan terhadap pihak yang mengambil kesempatan atas isu sensitif seperti kematian Zara Qairina dan insiden Jalur Gemilang terbalik, serta menekankan pentingnya tindakan tegas terhadap penghasut kebencian tanpa mengira kedudukan.
- Beliau menegur pendekatan demonstrasi oleh Pemuda UMNO di Pulau Pinang yang berisiko mencetuskan ketegangan, dan menyarankan agar isu ditangani secara berhemah melalui saluran undang-undang seperti dilakukan oleh ADUN Bertam, Datuk Seri Reezal Merican.
- Syahredzan menyuarakan kebimbangan terhadap potensi kekecohan dalam perhimpunan dan menyokong pendekatan kerajaan MADANI yang menekankan keselamatan serta ketenteraman awam melalui tindakan berasaskan undang-undang.
“Sebab itu, saya menyokong penuh kenyataan YAB Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tempoh hari bahawa pihak berkuasa wajar mengambil tindakan tegas terhadap penghasut kebencian dalam negara ini, atau (pihak yang) mengambil tindakan mengikut sentimen.
“Walau siapapun yang mengapi-apikan sentimen perpecahan tanpa mengira status atau kedudukan, tindakan harus diambil.
“Jangan kita beri walau sedikitpun peluang untuk sesiapa sekalipun untuk menjejaskan keamanan dan ketenteraman yang kita kecapi sekarang,” tegasnya lagi.
Beliau berkata demikian sewaktu membahaskan sesi penerangan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Rakyat pada Isnin, berhubung Kecaknaan Kerajaan MADANI Tentang Landskap Semasa Isu Keselamatan dan Ketenteraman Awam.
Pada 14 Ogos, lebih 500 individu menyertai Himpunan Solidariti Jalur Gemilang anjuran Pemuda UMNO Malaysia, di hadapan sebuah kedai perkakasan di Bertam, yang terlibat dalam pemasangan Jalur Gemilang terbalik.
Diketuai oleh Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Salleh, himpunan itu turut disertai Ketua Armada Bersatu, Muhammad Hilman Idham; Ketua Pemuda UMNO negeri, Mohd Hilmi Elias; dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya yang juga Ketua Armada Bersatu Pulau Pinang, Izhar Shah Arif Shah.
Bagaimanapun perhimpunan itu sedikit kecoh apabila sekumpulan individu yang didakwa dari Lawyer For Liberty, didakwa membuat provokasi dengan memegang sepanduk – “Jangan Bersikap Zionis”, “Hentikan Politik Kotor”, dan “Kesilapan Bukan Jenayah”.
Susulan perhimpunan tersebut, Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman telah menjalankan siasatan berhubung penularan video ucapan Akmal, yang didakwa bersifat ‘kebencian', di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Syahredzan berkata, perhimpunan seperti itu hanya memerlukan satu cetusan untuk mengakibatkan perkara yang tak diingini.
“Tetapi bayangkan dalam keadaan perhimpunan tempoh hari yang situasinya tegang, ia hanya memerlukan suatu cetusan, dan perkara tidak diingini boleh berlaku.
“Masa perhimpunan Khamis lepas pun ada kekecohan melibatkan kumpulan lain yang diketuai seorang peguam, namun kita bernasib baik keadaan kekal terkawal,” katanya lagi.
Beliau berkata, Pemuda UMNO seharusnya mengambil contoh ADUN Bertam, Datuk Seri Reezal Merican yang lebih berhemah dan matang dalam mendapatkan penjelasan pemilik kedai perkakasan terbabit.
“Saya tengok video ADUN Bertam pergi berjumpa dengan pekedai yang terlibat dengan insiden itu, mendapatkan penjelasan dan menunjukkan cara pasang dengan betul.
“Kemudian beliau buat laporan polis dan menggesa semua untuk bertenang dan paling penting sekali, serahkan kepada pihak berkuasa untuk siasat dan ambil tindakan.
“Tindakan dan responnya tegas, tanpa kompromi, tetapi dalam kerangka undang-undang. Inilah cara yang berhemah dan matang untuk menangani isu ini. Bukan dengan mengugut dan berhimpun untuk memberi tekanan,” katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami