KUALA LUMPUR: Walaupun memberi keutamaan dalam persediaan ke Sukan Olimpik Paris 2024, pemain beregu campuran negara Chen Tang Jie enggan mengambil mudah cabaran Kejohanan Badminton Asia (BAC) yang akan membuka tirai Selasa depan (9 April) di Ningbo, China.

Juara Terbuka Taiwan 2023 bersama pasangan regunya, Toh Ee Wei kini secara tidak rasmi telah mengesahkan tiket ke Paris dengan berada di kedudukan kelapan daripada kelompok lapan terbaik dunia dalam ranking kelayakan yang akan ditutup 28 April ini.

"Keutamaan di Sukan Olimpik tetapi kalau (sertai) kejohanan (seperti BAC) tidak ada atlet mahu kalah. Kita mesti bersedia untuk persembahan terbaik dan bukan (jadikan) kejohanan sebagai (tempat) memanaskan badan.

"Kalau boleh dapat juara kenapa tidak? Persediaan macam biasa (dan) baru balik dari Switzerland, jadi tidak mungkin latihan boleh (banyak) beza. Paling penting bagaimana kita beraksi pada kejohanan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia semalam.

Ditanya sekiranya mereka bersedia untuk melakukan perhitungan bersama gandingan nombor satu dunia, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong dari China pada pusingan pertama BAC, Tang Jie berkata mereka akan memberikan segalanya untuk melakar kejutan pada perlawanan itu setelah tewas tiga kali pada pertemuan sebelum ini.

Namun, atlet berusia 26 tahun itu mengakui mempunyai kesihatan terbaik, bebas daripada kecederaan serta mendapatkan khidmat psikologi daripada pakar Frederick Tan yang disediakan Persatuan Badminton Malaysia amatlah penting untuk mengharungi musim ini.

"Sebelum ini pun baru pulih daripada demam (dan macam saya) makan apa pun jaga baik-baik. Harap boleh nampak perbezaan dalam tiga bulan ini ... saya teruja bekerja dengan beliau (Frederick)," katanya.

Kejohanan BAC akan berlangsung di Ningbo bermula 9 hingga 14 April, manakala Sukan Olimpik Paris 2024 akan diadakan pada 26 Julai hingga 11 Ogos.

-- BERNAMA