Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini menegaskan, Baginda akan akur sekiranya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terpaksa digantung berikutan aksi longlai skuad Harimau Malaya yang tewas kepada Emiriah Arab Bersatu, 0-10, baru-baru ini.

Kata Baginda, terpulang kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin untuk melakukan apa yang sepatutnya beliau lakukan sebagai menteri.

BACA: Amaran KJ buat FAM

"Kalau dia nak guna kuasa dia (gantung FAM), siapa yang boleh tahan. Dia ada kuasa, buat lah apa yang patut," kata Tengku Abdullah selepas majlis perasmian Perkhidmatan Kardiotorasik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Tengku Abdullah berkata, sebagai Presiden FAM, beliau tidak sewajarnya dipersalahkan sepenuhnya atas kekalahan skuad Harimau Malaya itu.

"Itu budaya di sini. Kalau prestasi pasukan teruk, Presiden yang akan dipersalahkan, tapi bukan sepatutnya kerana di negara-negara lain, tidak menuding jari sebegitu.

"Saya sudah katakan dari awal Dollah (Salleh) bukan pilihan saya tetapi saya terpaksalah pikul tanggungjawab sebagai Presiden (FAM)," katanya.


Sabtu lalu, Khairy dalam kenyataannya menegaskan, sebagai menteri, beliau mempunyai kuasa mengikut Akta Pembangunan Sukan untuk mengambil langkah drastik seperti di Indonesia, iaitu menggantungkan FAM.

Tengku Abdullah hari ini turut menyatakan kesediaannya melepaskan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, (FAM) secara berperingkat.